CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1345|Reply: 0

Kontinjen Malaysia tetap ke Universiade Gwangju

[Copy link]
Post time 19-6-2015 05:49 PM | Show all posts |Read mode


KONTIJEN Malaysia akan tetap menyertai Temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju pada 3 hingga 14 Julai ini walaupun 24 kematian dilaporkan setakat ini akibat penularan Sindrom Pernafasan Koronavirus Asia Barat (MERS-COV).

Angka kematian terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan pesakit wabak berkenaan adalah sebanyak 166 orang di Korea Selatan.

Walaupun dengan keadaan membimbangkan itu, penganjuran temasya dwitahunan itu dijamin selamat dan langkah pencegahan diperketat.

Jaminan itu dikeluarkan oleh Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU) dan Jawatankuasa Penganjur Universiade Gwangju.  

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiade bagi kontinjen Malaysia, Hazally Jali berkata perkara itu juga telah disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO)  Korea Selatan.        

"FISU dan GUOC sentiasa memaklumkan mengenai keadaan terkini di Korea Selatan yang sedang diserang virus MERS-COV. Mereka ringkaskan tentang langkah pencegahan yang akan diambil oleh FISU dan tuan rumah.

"Dan pada masa sama, WHO Korea Selatan, yang adakan 'join mission' tidak pernah keluarkan kenyataan mengehadkan perjalanan dan aktiviti perniagaan di Korea Selatan, terutamanya di Gwangju.

"Di Gwangju sendiri, tidak ada sebarang kes disahkan mengenai wabak berkenaan. Mengikut WHO lagi, keadaan di Gwangju berada di peringkat pertama iaitu paling rendah (terdedah wabak)," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Hazally berkata atlet yang akan ke Gwangju hanya perlu mempraktikkan langkah pencegahan seperti sentiasa memakai topeng dan mencuci tangan.

Katanya langkah pencegahan seperti itu sering kali diguna pakai pada kejohanan besar bertaraf antarabangsa seperti Sukan Olimpik London pada 2012.   

Hazally berkata, Gwangju sebagai tuan rumah akan memastikan termometer pemeriksaan inframerah bagi mengesan wabak MERS-COV disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon serta di kawasan pengangkutan awam yang akan digunakan atlet dan di perkampungan sukan.

Penganjur juga akan memastikan para atlet tidak ada sebarang interaksi secara langsung dengan penduduk tempatan di samping menyediakan satu pusat MERS-COV dan dua pusat kuarantin sepanjang kejohanan berlangsung.

"Bagi pihak kita pula, kita akan pastikan mana-mana atlet yang demam sebelum bertolak ke Gwangju tidak akan ke sana kerana kita tidak mahu ada atlet dijangkiti virus MERS-COV," katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, katanya kontinjen negara terdiri 111 atlet dan 75 pegawai akan melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan ke Gwangju.

Selain itu, dua pegawai perubatan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya, dua pegawai psikologi dan fisioterapi daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan tiga tukang urut akan turut serta dalam kontinjen negara. - Bernama
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 02:18 PM GMT+8 , Processed in 0.054648 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list