CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1646|Reply: 0

[Lain-Lain] Zakat Fitrah Sucikan Jiwa, Rezeki Golongan Asnaf

[Copy link]
Post time 8-7-2015 12:44 PM | Show all posts |Read mode
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Saban Ramadan, selain berpuasa umat Islam berusaha memperbanyakkan ibadah, termasuk bermuhasabah dan memperbetulkan diri ke arah kebaikan bagi mendapatkan pahala berganda sempena bulan yang penuh keberkatan itu.

Selain ganjaran pahala menerusi amal ibadah ketika berpuasa, umat Islam juga perlu peka akan nasib golongan yang memerlukan dengan menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat fitrah.

Mereka tidak boleh leka dengan lebih mementingkan persiapan hari raya semata-mata, sedangkan keutamaan mereka adalah untuk menunaikan kewajipan melunaskan zakat fitrah.

Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di seluruh negara melantik amil-amil bertauliah bagi memudahkan orang ramai berbuat demikian.

APAKAH ZAKAT FITRAH?

Apakah zakat fitrah?

Pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fadlan Mohd Othman berkata zakat fitrah merupakan kewajipan fardhu ain ke atas setiap orang Islam.

Beliau berkata zakat fitrah bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

"Ia sebenarnya untuk melatih diri kita supaya lebih prihatin terhadap orang yang memerlukan seperti golongan asnaf dan juga untuk kita melahirkan rasa syukur kepada Allah," jelas beliau kepada Bernama.

Mengeluarkan zakat fitrah hukumnya adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka dan mampu mengeluarkannya pada waktu-waktu yang ditetapkan.

Golongan asnaf merujuk kepada:

1. Fakir

2. Miskin

3. Muallaf

4. Amil

5. Al-Riqab (mereka yang memerdekakan orang Islam daripada penghambaan)

6. Al-Gharimin (golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat).

7. Fisabilillah (mana-mana individu atau pihak yang melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti atau aktiviti menegak, mempertahan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya).

8. Ibnu Sabil (mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh syarak dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan).

KELEBIHAN ZAKAT FITRAH

Mengulas lanjut, beliau berkata antara kelebihan zakat fitrah adalah bertujuan membersih dan menyucikan jiwa seseorang yang berpuasa daripada perkara sia-sia yang dilakukannya ketika Ramadan.

"Bayaran fitrah dapat digunakan untuk membantu kumpulan asnaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri," jelas beliau.

Beliau berkata zakat juga berperanan dalam membina sosio-ekonomi dan sosial umat Islam.

"Jadi ia sangat penting dan mesti dihayati sepenuhnya oleh setiap muslim," ujarnya.

Fadlan yang juga Yang Dipertua Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu) menegaskan umat Islam mengambil kesempatan ketika Ramadan untuk membayar zakat fitrah.

WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH

Fadlan berkata dalil hanya mewajibkan zakat fitrah dan menetapkan masanya sepanjang Ramadan sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri.

"Justeru jika kita lihat amalan para sahabat Rasulullah SAW, mereka keluarkan zakat fitrah sehari atau dua hari sebelum hari raya fitrah. Ertinya itulah waktunya untuk keluarkan zakat fitrah.

"Selepas solat hari raya, tetap wajib bayar tetapi ia tidak dikira sebagai zakat fitrah sebaliknya sebagai sedekah wajib biasa," tambahnya.

Terdapat empat waktu yang digariskan Islam untuk umatnya mengeluarkan zakat fitrah.

Empat waktu itu ialah:

1. Waktu harus - bermula awal bulan Ramadan dengan mewakilkan kepada amil.

2. Waktu wajib - bermula terbenam matahari pada akhir Ramadan.

3. Waktu harus kedua - sehari atau dua hari sebelum hari raya untuk disampaikan kepada orang miskin dan fakir.

4. Waktu makruh - selepas solat sunat hari raya, namun tetap wajib dibayar.

Umat Islam di negara ini dijangka menyambut Aidilfitri pada 17 Julai selepas menjalani ibadah puasa sejak 18 Jun lepas.

-- BERNAMA



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Hari Raya Aidilfitri


    ADVERTISEMENT



     

    ADVERTISEMENT


     


    ADVERTISEMENT
    Follow Us

    ADVERTISEMENT


    Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

    30-11-2024 05:03 AM GMT+8 , Processed in 0.034840 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

    Powered by Discuz! X3.4

    Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

    Quick Reply To Top Return to the list