|
Rakan-rakan yang saya kasihi kerana Allah SWT,Kita semua mengimpikan pasangan yang mampu membahagiakan kita. Mampu menyejukkan hati kita, menggembirakan dan menyenangkan kita. Kita mengharapkan pasangan yang kuat ibadah, yang amat memahami kita, mampu bertolak ansur dengan kelemahan kita, yang penyayang dan amat mengasihi kita, mampu mengingatkan kita pada Allah SWT, dan macam-macam lagi ciri-ciri yang kita hajatkan.
Kita hajatkan pasangan yang ideal lagi sempurna.
Namun kita lupa bahawa, tiada manusia yang sempurna.
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap anak Adam itu sentiasa melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat.” Hadith Riwayat Ahmad.
Tiada Jaminan 100%
Sebenarnya tiada jaminan yang sempurna, 100%, untuk perkara tersebut. Kerana sehebat mana pun perkenalan kita dengan seseorang, kita memang takkan mampu mengetahui 100% berkait dirinya.
Begitulah dalam memilih pasangan.
Sebenarnya tiada cara yang ‘absolute’ untuk mendapatkan pasangan yang sempurna. Kerana hakikat kemanusiaan itu sendiri penuh dengan kekurangan dan kelemahan.
Kita hanya boleh berusaha yang terbaik, sambil berdoa kepada Allah SWT agar Allah SWT memberikan kita jodoh yang juga terbaik untuk kita.
Couple Menyelesaikan Masalah Pemilihan Pasangan?
Rakan-rakan yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Ada yang berpendapat, couple/berpasangan sebelum nikah, dapat menyelesaikan masalah pemilihan ini. Kerana katanya, dengan bercouple, kita akan dapat lebih mengenali bakal pasangan kita dengan lebih dekat.
Sebenarnya, selain jalan couple atau berpacaran sebelum bernikah banyak membuka kepada perkara yang dimurkai Allah SWT, ianya juga hakikatnya tidak mampu memberikan solusi kepada pencarian pasangan ideal.
Mengikut pengalaman sendiri dan juga sembang-sembang dengan mereka yang telah lama berkahwin, sebenarnya bila telah berkahwin pun, proses saling kenal mengenal itu akan terus berlaku dan berjalan. Dari masa ke semasa, akan terdedah sikap dan cara fikir pasangan kita, yang mungkin sebelumnya tidak kita ketahui.
Antara Usaha Yang Boleh Dilaksanakan
Justeru apakah jalan yang wujud untuk kita mendapatkan pasangan yang benar-benar baik buat kita?
Apa yang kita perlu pastikan sebelum memulakan apa-apa langkahan adalah, langkahan kita itu adalah di dalam batasan syara’. Bukan berpandukan hawa nafsu kita, dan bukan menggunakan jalan yang dilarang oleh Allah SWT.
Bila kita jatuh hati pada seseorang, antara yang kita boleh usahakan untuk mengenali dirinya serba sedikit adalah dengan cuba bertanya kepada mereka yang mengenalinya. Mungkin dia ada keluarga, mungkin dia ada kawan yang kita kenal, rajinkan diri bertanya.
Zaman sekarang adalah zaman teknologi, boleh juga kita buat lawatan ke akaun-akaun laman sosialnya, baik di Twitter, Facebook, Instragram, untuk kita perhatikan dirinya bagaimana, dari jauh. Tetapi jangan sesekali kita jadi ‘stalker’, mengikut dengan tegar sekali itu semua dengan niat untuk memuaskan hawa nafsu kita. Itu tidak dibenarkan. Namun melawat untuk sekadar tahu orangnya bagaimana, itu sebenarnya tidak menjadi masalah.
Tetapi kalau dah jadi ‘stalker’, ‘copy & paste’ gambar-gambarnya untuk disimpan di dalam telefon atau komputer kita, nyata kita telah tersasar dan jalan yang sepatutnya.
Setelah kenal serba sedikit, untuk meneruskan proses taaruf, sebaiknya kita lamar dan jadikan dia tunang kita. Ini juga membantu kita untuk tidak terlalu lama memendam perasaan, dan kalau ditolak ketika ini pun, tidaklah kita rasa terlalu payah untuk mencari yang lain. Bab melamar ini, akan kita kembangkan lagi di bab yang khusus buatnya.
Bila sudah berjaya bertunang, itu tandanya bakal pasangan pun berhajat untuk lebih mengenali kita. Maka dalam fasa pertunangan, jalankan proses taaruf. Ini juga detailnya akan kita panjangkan di dalam bab yang lain.
Namun apa yang mahu ditekankan di sini ialah, usaha taaruf secara ringkas semasa bertunang itulah antara ruang yang ada buat kita untuk mengenali bakal pasangan dengan lebih dekat. Bila sudah bertunang, mudahlah ibu bapa nak saling berziarah, kita pun lebih selesa nak bertaaruf dengan bakal mertua, membina hubungan dengan keluarganya, sekaligus lebih mengenali bakal pasangan.
Sebab itu indahnya Islam, pertunangan tidak ada limit masa. Namun hendak mengelak fitnah, sebaiknya disegerakan perkahwinan.
Memang itu pun takkan 100% memberi jaminan apakah bakal pasangan kita itulah yang 100% ‘match’ dengan kita, dan bakal memberikan kita kebahagiaan yang tiada taranya di alam rumahtangga nanti.
Tawakkal Dan Fokus Kepada Pembinaan Diri
Rakan-rakan yang saya kasihi kerana Allah SWT
Di sinilah letaknya kepentingan tawakkal kepada Allah dan persiapan kematangan diri untuk berumahtangga.
Kadang dalam urusan ini, kita terlupa yang Allah SWT adalah pemilik ketenangan, pemilik kebahagiaan, pemilik kesenangan dan sebagainya. Bukan pasangan kita. Maka dalam usaha kita untuk mengenali seseorang, untuk mendapatkan pasangan yang baik, jangan lupa juga untuk banyakkan berdoa dan berharap kepada Allah SWT.
Dialah yang bakal memberikan kita yang terbaik. Kerana Dialah yang Maha Memberi.
Allah SWT berfirman:
“Dan berkatalah Rabb kalian: Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan perkenankan.” Surah Ghafir ayat 60.
Pada satu sisi yang lain, kita juga sebenarnnya hendaklah lebih membesarkan fokus kepada pembinaan diri. Terutama diri kita.
Ketahuilah nanti, kerana kita maklum bahawa manusia itu tidak sempurna, semasa mengharungi alam rumahtangga, kita akan perlu sentiasa menghadapi kelemahan-kelemahan pasangan kita, perbezaan pendapat dengannya, dan melatih pula lapang dada serta tolak ansur untuk berhadapan dengannya. Dan kemungkinan juga kitalah nanti yang bermasalah, justeru kena juga persiapkan diri untuk boleh menerima teguran daripada pasangan dan sebagainya.
Bak kata orang, dari sibuk mencari yang terbaik, kita sebenarnya kena sibuk menjadi yang terbaik.
Kerana akhirnya, kalau pasangan kita terbaik sekalipun, tetapi kita tidak terbaik, apakah rumahtangga kita akan tetap bahagia? Pastinya tidak.
Untuk mencapai kehamornian di dalam berumahtangga, kedua-duanya perlu memainkan peranan.
Sebab itu bagus masa bertunang, hadiahnya adalah buku, atau tiket ke seminar baitul muslim, atau apa-apa sahaja yang boleh membina kematangan, pendalaman ilmu untuk membentuk kesatuan minda dan hati antara kita dan pasangan. Jika kedua-duanya memahami dan mampu melihat serius perkara ini, sudah pastilah pelbagai perkara di dalam rumahtangga nanti menjadi mudah insyaAllah.
Namun sebagaimana yang saya nyatakan tadi, fokus utamanya adalah pembinaan diri kita sendiri. Kalau pasangan kita ada kelemahannya pun, jika kita telah usaha menjadikan diri kita yang terbaik, insyaAllah kita boleh menampung kelemahannya.
Memeluk Sempurna?
Akhirnya rakan-rakan pembaca, memang kalau mengharapkan sempurna, kita takkan memperolehinya. Tetapi insyaAllah, orang yang berusaha dengan jalan yang syara’, sentiasa pula mengharapkan kasih dan sayang Allah SWT, maka percayalah bahawa Allah SWT akan mempersiapkan untukNya rahmat dan pertolongan, kemudahan dan kelapangan.
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis. Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan.” Surah An-Najm ayat 43-44.
Allah SWT tidak akan sesekali menzalimi hamba-hambaNya yang berusaha.
Kesempurnaan hakikatnya, hanya milik Allah SWT semata-mata.
Kita mengharapkan, dengan kesempurnaanNya itulah, Dia membantu kita sepanjang kehidupan berumahtangga nanti insyaAllah.
Artikel ini ditulis oleh Hilal Ayraf dari laman Langit Ilahi. (38)
|
|