|
Petisyen desak Netanyahu ditahan
Wartawan Sinar Harian
17 Ogos 2015
Lebih 60,000 tandatangan diperolehi dalam tempoh seminggu petisyen itu dimuat naik ke laman web rasmi Parlimen Britain.
LONDON - BRITAIN. Lebih 60,000 individu di Britain telah menandatangani petisyen Benjamin Netanyahu to be arrested for war crimes when he arrives in London yang mendesak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu diberkas atas dakwaan melakukan jenayah perang ketika kunjungan beliau pada bulan depan.
Petisyen secara dalam talian itu dimuat naik pada 7 Ogos lalu di laman rasmi Parlimen Britain bagi menuntut penahanan pemimpin itu kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas hampir 2,200 penduduk Palestin ketika Operasi Perlindungan Sempadan yang dilancarkan ke atas Genting Gaza pada tahun lalu.
Kerajaan perlu memberi respons jika memperoleh 10,000 tandatangan dan jika 100,000 tandatangan berjaya diperoleh, ia akan dipertimbangkan untuk dibahaskan di Parlimen.
Awal minggu lalu, Kementerian Luar Israel dengan angkuh menyatakan kononnya petisyen tersebut tidak memberi sebarang makna malah hubungan dua hala antara London dan Tel Aviv menjadi lebih erat berbanding sebelum ini.
Difahamkan, tarikh akhir ditetapkan untuk menandatangani petisyen tersebut adalah pada 7 Februari depan, lapor Press TV.
|
|