PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi bengang apabila difitnah kononnya dia terlibat dengan kemelut Koperasi Pengiat Seni Selangor Berhad (KOSENI) yang tidak melunaskan bayaran RM4.8 Juta kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Zed berkata, dia tidak tahu langsung mengenai masalah tersebut dan tiada kaitan dengan pihak KOSENI seperti yang diperkatakan.
"Saya pernah menjadi penasihat KOSENI tetapi ontrak saya dah lama habis. Tiba-tiba keluar cerita saya ada kaitan dengan masalah usahan IKS yang belum mendapat bayaran mereka daripada KOSENI.
"Ini semua fitnah! Ada pihak mahu mensabotaj saya dengan memburukkan reputasi saya sebagai seorang selebriti dan Presiden Seniman," katanya.
Kira-kira dua minggu lalu, Seramai 38 usahawan IKS merayu kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu menyelesaikan kemelut masalah mereka dengan KOSENI.
Usahawan-usahawan tersebut mendedahkan menerusi sebuah sidang media yang diadakan telah ditipu apabila semua barangan yang bernilai keseluruhannya RM4.8 juta tidak dibayar seperti yang dijanjikan dan tertulis di dalam kontrak perjanjian.
Menerusi sidang media berkenaan, nama Zed juga disebut sebagai antara pihak dibawah KOSENI yang kononnya 'membawa lari' wang tersebut.
Sementara itu, Zed berkata, selepas membuat beberapa penyiasatan, dia berjaya mengesan individu yang menyebarkan fitnah mengenainya.
"Buat masa sekarang, apa-apa sahaja cerita saya yang keluar di akhbar, internet mahupun menerusi aplikasi Whatsapp, saya akan simpan sebagai bukti.
"Saya dah tahu siapa yang memfitnah saya. 'Menariknya', individu tersebut masih lagi memburukkan saya .
"Saya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya penyebaran fitnah ini masih berlanjutan," ujarnya.
|