CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1078|Reply: 0

[Tempatan] Kelas menengah perlu subsidi jika sektor hartanah tak berubah, kata penyelidik

[Copy link]
Post time 25-8-2015 09:23 AM | Show all posts |Read mode
Kelas menengah perlu subsidi jika sektor hartanah tiada perubahan, kata penyelidik

OLEH RAM ANAND                                                                       
Published: 25 August 2015 7:00 AM
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kelas-menengah-perlu-subsidi-jika-sektor-hartanah-tiada-perubahan-kata-peny


Kelompok kelas menengah rakyat Malaysia perlu subsidi untuk beli rumah jika harga hartanah terus meningkat, menurut laporan Institut Penyelidikan Khazanah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Ogos, 2015.


Kelompok kelas menengah rakyat Malaysia mungkin memerlukan subsidi kerajaan bagi pembelian rumah jika harga hartanah semasa terus meningkat, menurut laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang menggesa campur tangan serta-merta semua pihak berkepentingan untuk mentransformasikan sektor perumahan di Malaysia.       

Pengarah Penyelidikan KRI Dr Suraya Ismail berkata, julat median harga bagi perumahan "berat sebelah" kepada bahagian lebih kecil daripada penduduk Malaysia, atau mereka yang berpendapatan tinggi.

Jika ini berterusan, faedah perumahan sosial perlu diberikan kepada isi rumah berpendapatan sehingga RM10,000 sebulan, yang jatuh dalam kategori kelas menengah.

Ini bermakna bukan saja kumpulan 40% isi rumah terendah, tetapi juga 40% isi rumah kelas pertengahan di Malaysia, perlu menerima subsidi untuk membeli rumah mampu milik, jika harga semasa diguna pakai.       

Kerajaan sudah melakukan inisiatif seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), termasuk pinjaman perumahan bagi meningkatkan jumlah rumah mampu milik dalam pasaran hartanah yang semakin sesak.       

Di Kuala Lumpur terutamanya, tiada projek baharu dilancarkan di bawah harga RM500,000 tahun lepas, walaupun maksimum median harga rumah adalah RM274,000 seunit.       

"Harga ini adalah berdasarkan kepada pendapatan median penduduk di bandar," katanya semalam pada pelancaran laporan penyelidikan terkini KRI, "Membina Perumahan Mampu Miliik".       

Suraya dan Pengarah Urusan KRI Datuk Charon Mokhzani berkata campur tangan segera diperlukan untuk membetulkan keadaan.       

Beliau juga menggesa kerajaan beralih daripada bergantung kepada perumahan sosial atau penyediaan rumah oleh kerajaan, untuk mewujudkan persekitaran di mana harga rumah yang mampu dimiliki semua orang.       

Charon berkata memberi lebih banyak pinjaman tidak akan membantu menyelesaikan masalah perumahan kerana ini hanya akan menyebabkan orang terperangkap dengan lebih banyak hutang.       

Sebaliknya, industri itu sendiri boleh memastikan permintaan yang efektif dan produktif bagi perumahan tanpa menjejaskan keuntungan, kata laporan KRI itu.       

Laporan itu turut menegaskan kos pembinaan sebenarnya akan menurun tetapi ini tidak dicerminkan harga rumah yang terus meningkat dengan pesat pada tahun lepas.       

Charon berkata persepsi harga tanah akan meningkat dan seterusnya melonjakkan harga rumah adalah tidak benar.       

"Apa yang berlaku ialah pemaju berhasrat untuk menjual hartanah pada harga tertentu dan nilainya berdasarkan bidaan tertinggi sekali gus menjadikan harga tanah lebih mahal," katanya.       

KRI dalam laporannya, memetik kajian positif direkodkan di Filipina, di mana syarikat yang dikenali 8990 Holdings mencatat keuntungan sebanyak AS$76 juta bagi 2013 walaupun hanya membina rumah kos rendah untuk memenuhi permintaan kategori rakyat berpendapatan rendah.

Malah, separuh daripada pembelinya berpendapatan RM2,000 dan ke bawah di Filipina, selepas kadar pertukaran.       

Ini dapat dilakukan dengan proses pembinaan inovatif menggunakan teknologi yang dipanggil "pre-cast" yang membolehkan syarikat menyiapkan rumah bandaran dan unit tunggal berkembar dalam tempoh 8 hingga 10 hari.       

Tetapi keberkesanan itu memerlukan komitmen pihak yang terlibat dalam proses pembinaan - daripada pereka, kontraktor, kepada pemaju - bekerjasama untuk memastikan pengeluaran efektif, kata institut itu.       

"Inovasi ini perlu bermula daripada pemaju supaya ia dapat dilaksanakan untuk membolehkan mereka memiliki sistem penyampaian yang lebih produktif," kata Suraya sambil memetik Sistem Binaan Industri (IBS), yang sudah lama dicadangkan tetapi belum dilaksanakan di Malaysia.       

Sistem ini melibatkan penggunaan komponen pasang siap yang boleh dipasang di tapak projek.       

Walaupun kebanyakan negara maju terpaksa memastikan perumahan sosial untuk semua rakyatnya, namun laporan itu menyatakan tidak semua isi rumah memiliki rumah kerana pertumbuhan penduduk.       

"Adalah lebih masuk akal daripada segi ekonominya untuk memastikan pembelian rumah adalah berdaya maju daripada segi kewangan kepada orang awam daripada ia bergantung kepada model sedia ada pada penyediaan perumahan sosial," kata laporan itu.       

Institut itu mencadangkan kaedah pengeluaran baharu diguna pakai pemaju supaya lebih inovatif dan juga menggesa satu pemantauan dikenakan terhadap harga rumah di bawah skim baharu sehingga stok rumah mampu milik disediakan.       

Ia juga menggesa penubuhan pangkalan data kebangsaan bagi perancangan teratur untuk kawasan yang memerlukan perumahan dan pembangunan di sekeliling kawasan sedia ada.

25 Ogos, 2015.

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 01:39 PM GMT+8 , Processed in 0.387657 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list