Artikel Oleh : Loo Tung Seang, Izzah Abbasy
Video Oleh : Izzah Abbasy, FirdausZ
Sekali lagi Malaysia akan menjadi tumpuan ramai apabila Kumpulan Anti bersih 4.0 atau ia dikenali juga sebagai Himpunan Rakyat Bersatu berhasrat untuk mengadakan perhimpunan 'gelombang merah' pada 16 September 2015 (Rabu) pada Hari Malaysia. Himpunan ini akan disertai lebih 500 pertubuhan Melayu di seluruh negara bagi membuktikan penyatuan hati orang Melayu dalam mempertahankan maruah tanpa mengira perbezaan fahaman dan ideologi politik masing-masing.
Namun, desas desus menyatakan bahawa perhimpunan ini akan dibatalkan berikutan tidak mendapat lulusan dan juga mengambil kira aspek keselamatan. Berlainan pula keterangan daripada NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, perhimpunan aman itu tetap akan diadakan walaupun pelbagai halangan termasuk tidak mendapat kebenaran polis.
Siapa kata kita mahu batal Himpunan Rakyat Bersatu? Polis kata tidak boleh tetapi biarlah, kita hendak buat perhimpunan aman dan kita akan tetap lakukannya. Katanya, kepada Astro Awani.
Lokasi Berhimpunan
- Sekitar Bukit Bintang
- Jalan Petaling
- Berakhir di Padang Merbok
Perhimpunan Bersih 4.0 baru-baru ini berakhir dalam keadaan yang aman damai. Namun, Kumpulan NGO Melayu telah mengecam penganjuran Perhimpunan Bersih yang dikawal selia oleh kaum Cina dan DAP dan disifatkan sebagai suatu penghinaan buat orang Melayu, justeru mereka perlu menganjurkan perhimpunan berkenaan untuk menebus balik maruah orang Melayu dan seterusnya menghasilkan semangat perpaduan dalam kalangan orang Melayu. Apa pandangan rakyat Malaysia sekalian berhubung kenyataan tersebut?
Walaupun mendapat tentangan daripada pihak polis, 'gelombang baju merah' menegaskan biarpun berlaku gempa bumi atau ribut taufan perhimpunan kali ini tetap akan diadakan dan menjangkakan lebih 300 ribu peserta akan menyertai. Jom, kita dengarkan apa kata masyarakat setempat. - CARI Infonet
|