TAIPING - Seorang bapa dihukum penjara 19 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, setelah mengaku bersalah atas tuduhan merogol dan mendera anak kandungnya berusia 10 tahun, minggu lalu.
Hukuman itu dijatuhkan ke atas seorang lelaki berusia 38 tahun oleh Hakim Mohd Sabri Ismail.
Tertuduh dijatuhkan hukuman berkenaan atas pertuduhan merogol anak perempuannyadi dalam rumah mereka di Kamunting jam 2 petang, 5 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Khairul Ismail Rodzlan Akib mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut dihukum penjara dua tahun atas kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu memukul mangsa menggunakan tangan, wayar dan penyapu menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 12 tengah hari pada 4 September lalu di rumah mereka.
Mohd Sabri memerintahkan kedua-dua hukuman dijalankan secara berasingan.
|