CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2320|Reply: 0

NILAI SEJARAH KETENTERAAN KEPADA NEGARA

[Copy link]
Post time 6-10-2015 04:40 PM | Show all posts |Read mode
NILAI SEJARAH KETENTERAAN KEPADA NEGARA




  Syabas dan tahniah kami ucapkan kepada pihak-pihak yang telah berusaha keras untuk melaksanakan misi Op Gangga baru-baru ini demi melestarikan sejarah ketenteraan Negara kita lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan kerjasama diantara dua buah Negara iaitu Malaysia dan juga Amerika Syarikat.Berikutan dengan penemuan rangka pesawat Dakota ini, ia telah melibatkan kerjasama diantara DPAA USA yang bertempat di Honolulu dan juga merupakan tanggugjawab kepada Negara Malaysia untuk membantu Negara Amerika Syarikat untuk menjalankan kerja-kerja Mencari dan Menemukan (Search and Discovery) untuk mencari 3 mangsa krew pesawat malang ini.

   Berita penemuan rangka pesawat Dakota ini sebenarnya telahpun menjadi bualan penduduk di Beruas sejak dahulu lagi yang mana rangka pesawat ini telah dijumpai oleh kumpulan pencari rotan dan juga hasil-hasil hutan ketika mereka meredah hutan belantara mencari rezeki.

   Untuk pengetahuan umum, Op Gangga bukanlah merupakan misi yang pertama bagi kajian objek sejarah ketenteraan Negara yang pernah dilaksanakan oleh ATM melalui Muzium Tentera Darat. (http://www.armymuseumpd.gov.my/) sebaliknya banyak lagi misi-misi yang tidak diketahui umum telah mereka laksanakan bagi memastikan warisan sejarah ketenteraan dapat diabadikan untuk tatapan generasi yang akan datang. Terdapat juga misi-misi mereka yang pernah disertai oleh kumpulan yang terdiri daripada orang awam secara sukarela.

   Sebelum tertubuhnya Muzium Tentera Darat yang terletak di Port Dickson, pasukan mereka telahpun menjelajah kepelusuk Negara bagi mendapatkan bahan-bahan sejarah berkaitan ketenteraan samada tinggalan era insurgensi, malah mencakupi hingga era peperangan dunia ke-2 bagi memenuhi objektif Visi mereka iaitu untuk menjadi sebuah institusi yang terulung bagi memartabatkan sejarah ketenteraan negara dalam melestarikan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan negara.

   Warisan-warisan ini juga mempunyai nilai keunggulan sejagat yang tidak dapat diganti, malah kehilangannya bererti kerugian kepada Negara. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan kepentingan sejagat ini bebas daripada bahaya dan ancaman keluputan serta kemusnahan yang berpunca daripada manusia sendiri seperti aktiviti scrap hunter, aktiviti pembalakan lampau serta sikap kumpulan aktiviti luar / ekspedisi hutan yang tidak bertanggungjawab seperti mengambil, mengubah serpihan ataupun apa-apa objek yang berkaitan ketika mereka mengunjungi mana-mana tapak tersebut.

   Justeru itu, kami berpendapat bahawa apa-apa objek mahupun struktur yang berkaitan dengan sejarah ketenteraan seharusnya diiktiraf dan didaftarkan sebagai Objek Warisan Negara agar ianya akan terus terpelihara dibawah kuasa undang-undang yang mantap seperti Akta Warisan Kebangsaan 2005. Menurut UNESCO, melalui satu perjanjian antarabangsa yang bernama Konvensyen Perlidungan Warisan Kebudayaan dan Warisan Semula Jadi telah menerima pakai strategi menyepadukan usaha Negara-negara diseluruh dunia kearah menyelamatkan dan melindungi warisan-warisan budaya serta lingkungan semula jadi.

   Kami berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab pihak-pihak yang berwajib seperti Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Warisan Negara malah juga pihak Kementerian Pertahanan untuk membuat semakan bersama berkaitan aspek perundangan yang sedia ada bagi memperkasakan undang-undang itu malah juga untuk memastikan tiada kelompongan ataupun ruang yang boleh menyebabkan Negara kita berputih mata akibat kehilangan warisan Negara yang tak ternilai harganya. Menurut sidang ahkbar itu juga dianggarkan terdapat kira-kira 500 khazanah perang dunia ke-2 yang masih belum lagi dijalankan kajian dan penyelidikan yang meliputi kapal-kapal perang yang tenggelam didasar lautan dan juga pesawat-pesawat yang telah terhempas samada di semenanjung Malaysia, malah Sabah dan Serawak. Percaya atau tidak, khazanah perang ini juga termasuklah bangkai pesawat pengebom B-29 Superfotress yang telah terlibat didalam misi pengeboman bom di Tokyo telah terhempas di Negeri Sembilan.

   Mungkin kita boleh mengambil contoh-contoh bagaimana perlaksanaan negara luar seperti mana yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan United Kingdom melalui Kementerian Polis Pertahanan (Ministry Defence Police) yang diberi kuasa dan tanggungjawab untuk melindungi kepentingan sejarah ketenteraan melalui Protection of Wreck Act 1973. Bagi Kementerian Pertahanan Malaysia pula, aspek sejarah berkaitan ketenteraan ini mestilah dilihat, dikaji dan dirungkai dari pelbagai sudut yang meliputi doktrin peperangan, teknologi yang digunakan ketika itu, taktik malah juga muslihat sebagai satu elemen kepentingan strategic selain mengkaji dari sudut sejarah am semata-mata.

   Pihak Kementerian Pertahanan juga seharusnya konsisten untuk memberikan komitmen terhadap sejarah berkaitan ketenteraan ini dari sudut yang luas dan tidak tertumpu hanya kepada sejarah ketenteraan yang berkaitan dengan perkhidmatan ATM sahaja. Langkah Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan Institusi Malaysian War Memorial serta agensi seumpama DPAA USA dilihat sangat tepat disamping dapat menyediakan peruntukan perundangan yang lebih spesifik berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan kepentingan Sejarah Ketenteraan Negara.

   Pemerkasaan kepakaran ahli arkeologi dari kalangan warga ATM juga boleh diperluaskan dengan mewujudkan polisi dan dasar yang lebih spesifik. Melihat kepada contoh-contoh dari Negara luar yang boleh kita jadikan panduan dan rujukan seperti Centre of Military History – Amerika Syarikat, Air Historical Branch – United Kingdom, Directorate of History and Heritage – Kanada, Army Historical Branch – Singapura, kami menyimpan impian yang amat tinggi satu ketika nanti Negara Malaysia juga mampu untuk berada seriring dengan mereka melalui usaha penambahbaikan kepada pencapaian kita ketika ini.

   Perlaksanaan ini juga mampu untuk menjadi instrument sokongan kepada kerajaan didalam usaha untuk menyuntik semangat jati diri didalam masyarakat sepertimana yang diturut dikatakan oleh Jeneral Tan Sri Aziz bahawa “patriotism as a way of life”. Kami yakin bahawa usaha ini juga mampu untuk mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan bangsa dan negara Malaysia.

   Kami juga amat percaya bahawa melalui pengetahuan serta penghayatan sejarah berkaitan ketenteraan tanah air, generasi muda akan dapat memahami dan menghargai nilai erti keamanan dan kemerdekaan Negara kita. Sejarah ketenteraan juga dapat mewujudkan ingatan bersama terhadap peristiwa sejarah sebagai rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan pemangkin kepada semangat patriotism. Namun begitu, anggota pasukan kerja-kerja penyelidikan ini mestilah memiliki akreditasi yang telah ditetapkan didalam perundangan yang sediaada dan juga bertauliah bagi memastikan kerja-kerja penggalian dan penyelidikan ini tidak melakukan apa-apa perlanggaran protokol khususnya apabila mereka telah berjaya menemui mana-mana rangka manusia ditapak kejadian dan juga objek sejarah. Tambahan pula, proses pengambilan dan pengendalian sampel forensik juga adalah kritikal bagi menjamin keputusan hasil ujian itu dapat memberikan jawapan yang sebenar.

Editor Kanan PP


http://panggilanpertiwi.my/?p=686
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 09:43 AM GMT+8 , Processed in 0.199552 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list