KOTA BHARU: Keinginan dua kanak-kanak Orang Asli, Norieen Yaakob, 10, dan rakannya, Mirsuadir Aluj, 11, untuk menjamah ayam goreng tertunai hari ini.
Apa yang lebih manis lagi, hidangan ayam goreng KFC itu dibawa khas oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang meluangkan masa melawat dua kanak-kanak tersebut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPPZ II) di sini.
Paling menyentuh hati, Rosmah yang hadir bersama rombongan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) itu menyuap sendiri ayam goreng tersebut kepada Norieen dan Mirsudiar.
Ternyata situasi itu menceriakan seluruh warga hospital dan keluarga kanak-kanak terbabit yang melihat sendiri bagaimana kedua kanak-kanak tersebut begitu berselera menikmati hidangan tersebut.
Pada masa sama, senyuman terukir di bibir Norieen dan Mirsudiar yang sebelum ini hanya berdiam diri mengenangkan peristiwa bagaimana mereka menyaksikan sendiri rakan-rakan lain meninggal dunia di depan mata.
Dalam lawatan hampir satu jam itu, Rosmah yang merupakan Yang Dipertua Bakti turut menyampaikan sumbangan wang tunai selain menghadiahkan pakaian baharu kepada kanak-kanak terbabit.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Kamarzan Ahmad Meah; Ke-tua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Razin Ahmad Mahir.
Sebelum ini Norieen dan Mirsudiar yang dirawat di HRPZ II sejak seminggu lalu sering menyebut keinginan untuk menikmati menu kegemaran mereka iaitu ayam goreng.
- Utusan Online
|