KUALA LUMPUR: Penutup tahun 2015 menyaksikan Malaysia sekali lagi diberi tamparan hebat selepas tersenarai pada kedudukan ketiga antara enam entiti yang mempunyai ‘skandal rasuah paling teruk’ di dunia bagi tahun ini.
Kedudukan tersebut didedahkan oleh portal berita antarabangsa foreignpolicy.com - sebuah bahagian di bawah Washington Post Company menerusi laporan bertajuk “The Worst Corruption Scandals of 2015”, pada Selasa.
Menerusi laporan itu, agensi tersebut menyenaraikan beberapa penerima lain yang diberi ‘anugerah’ tersebut, yang mana kedudukan paling atas adalah milik Federasi Bola Sepak Internasional (FIFA) sebagai paling teruk melibatkan rasuah dan skandal, diikuti Nigeria dan ketiga, Malaysia.
Tiga entiti lain yang turut terpalit dalam skandal rasuah besar-besaran adalah Honduras dan Guatemala (keempat), selain hakim-hakim di Ghana dan Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu yang masing-masing berada di tangga kelima dan keenam.
Berdasarkan laporan berkenaan, kedudukan Malaysia di tangga ketiga dilihat berkait rapat dengan beberapa isu dalam negara iaitu melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang berjumlah lebih RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Malah laporan tersebut juga menyebut, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berada dalam kedudukan yang janggal apabila beliau melawat Malaysia bulan lalu.
Ini katanya, kerana empat bulan sebelum itu, akhbar The Wall Street Journal melaporkan bahawa AS$700 juta (kira-kira RM3 bilion) dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.
Malaysia sebelum ini mencuri tumpuan dunia selepas beberapa siri pendedahan yang dibuat oleh akhbar The Wall Street Journal yang mendakwa wujud penyelewengan dalam pengurusan syarikat 1MDB, termasuk mendedahkan wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Bagaimanapun, presiden UMNO itu menegaskan bahawa wang berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun beliau merupakan sumbangan politik.
- mD
|