Panas yang diharapkan berpanjangan, namun hujan di tengahari. Pun begitu, dugaan itu sesekali pun tidak ditangisi mahupun dipersalahkan.
Kisah wanita ini yang dipaparkan di media sosial ternyata mencuit banyak perasaan. Dia menceritakan bagaimana mengharungi jerit perih ketika awal perkahwinan.
Sehinggakan wang dalam poket suami ketika itu hanyalah RM5. Sanggup berkongsi sebungkus nasi bujang dan baki RM3.10 digunakan untuk membeli lampin pakai buang untuk anak.
Si isteri juga tanpa sedikit pun memberi alasan dan mengeluh, membantu suami berniaga burger pada waktu malam. Sedangkan siangnya suami bekerja sebagai 'mat despatch'.
Namun, berkat usaha dan kesabaran, akhirnya suami berjaya membina kekayaan hasil daripada perniagaan jual beli kereta. Dari tidak memakai apa-apa kenderaan sehinggalah memiliki sebuah Estima dan BMW, idaman ramai orang.
Pun begitu, kisah ini tidak berhenti setakat itu, ketika dalam kesenangan suami berjumpa dengan 'perempuan' lain dan akhirnya isteri yang bersama ketika susah, diceraikan.
Di kala ini, wanita itu telah ditinggalkan selama 4 tahun, namun masih mampu tersenyum dan mendoakan yang terbaik buat 'bekas suaminya' itu.
(Sumber foto: Carian google)
Betapa besarnya hati wanita ini, cekal dan juga kuat. Buat para suami, jangan pernah melupakan isteri anda bila kesenangan telah dikecapi.
Meskipun isteri anda tidak secantik wanita lain, tidak menawan dan mula berkedut di wajah, namun ingat, wanita inilah yang tidak sesekali berganjak dari anda ketika ujian kesusahan dilalui suatu masa dahulu. - CARI Infonet