'Langgar' port Myanmar
Kuala Lumpur: “Saya bayar RM300 kepada mereka (kongsi gelap Myanmar) sebagai wang perlindungan. Itu semua demi keselamatan saya dan keluarga,” kata Hassan yang menghuni rumah kedai di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, berhubung kegiatan haram berkenaan.
Dia bagaimanapun mendakwa campur tangan ahli kongsi gelap tempatan dikenali sebagai Geng 36 menyebabkan kawasan itu menjadi ‘panas’ dan berlaku perebutan kuasa.
Menurutnya, dua geng kongsi gelap Myanmar sebelum ini bekerjasama ‘menjaga’ pasar borong berkenaan.
“Namun sekarang keadaan tidak tenteram. Ahli Geng 36 berani masuk ke kawasan ini dan meminta wang perlindungan RM3,000.
“Mereka berani mencabar kumpulan kongsi gelap Myanmar hingga menyebabkan pergaduhan,” katanya yang enggan namanya didedahkan.
Menurutnya, kongsi gelap Myanmar dianggap berbahaya berikutan mereka mampu menyerang balas menggunakan pistol dan bom tangan.
“Kami hidup dalam ketakutan terutama bergerak pada waktu malam walaupun terdapat polis dan tentera yang mengawal kawasan ini,” katanya.
Pekerja pasar borong, Ridu, 32 berkata, kongsi gelap tempatan turut terbabit dengan aktiviti penjualan dadah dan mengarahkan mereka menjual dadah di kawasan pasar.
“Ini antara punca berlaku kes tembak dan bunuh sebelum ini. Mereka mahu berebut kawasan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, dua individu warga Myanmar dikenali sebagai Rashid dan Shoifullah Mohd Tahir masing-masing berusia lingkungan 30-an dikehendaki polis berhubung kejadian keganasan di Pasar Borong Kuala Lumpur sebelum ini.
Menurutnya, polis dan tentera akan terus melakukan rondaan di kawasan pasar itu bagi memastikan keselamatan peniaga dan penghuni berhampiran terjamin.
Tinjauan wartawan mendapati beberapa anggota polis dan tentera lengkap bersenjata api meronda di kawasan itu 24 jam sehari selain pemeriksaan kenderaan saban hari.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 6:58 AM
« »
TIGA anggota polis yang membuat rondaan berbual bersama peniaga Pasar Borong Kuala Lumpur.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/112066#sthash.MX8mv06W.dpuf
|