OTTAWA 14 Feb. - Seorang lelaki di Kanada yang hilang ingatan selama 30 tahun selepas terlibat dalam satu kemalangan, akhirnya mengingati identitinya semula, baru-baru ini.
Portal CNN yang memetik kenyataan Polis Wilayah Niagara melaporkan, Edgar Latulip, 51, yang berasal dari Kitchener, Kanada, mula mengingati namanya sejak dia berkhidmat sebagai pekerja sosial pada 7 Januari lalu.
Jelas laporan itu, Latulip me­ninggalkan kawasan kediamannya pada 1986 dengan menaiki sebuah bas ke Air Terjun Niagara, tetapi mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan ke bandar St. Catharines yang menyebabkan kepalanya terhantuk dan dia hilang ingatan akibat kecederaan tersebut.
Sejak kejadian itu, Latulip tinggal di bandar berkenaan selama 30 tahun dan menggunakan nama berbeza, tetapi mula mengingati identiti sebenar baru-baru ini dan melakukan siasatan secara lanjut dengan mengumpulkan maklumat daripada akhbar lama.
Dia kemudiannya menemukan kes kehilangan orang yang disiarkan dalam sebuah artikel akhbar tempatan pada 2014 yang sepadan dengan kejadian me­nimpa dirinya, sekali gus merujuk perkara itu kepada pihak polis yang mendapati dia merupakan mangsa yang hilang pada 1986.
Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) juga menunjukkan dia mempunyai pertalian darah dengan seorang saudaranya yang tinggal di Waterloo dan pihak berkuasa menghubungi ibunya yang tinggal di Ottawa untuk memaklumkan berita gembira tersebut.
Menurut ibunya, Silvia Wilson, dia menyangka Latulip telah diculik dan ada pihak mengambil ke­sempatan terhadap anaknya itu.
Pihak polis dan penduduk St. Catharines kini bekerjasama untuk mengatur pertemuan semula Latulip dengan ahli keluarganya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.vdFVAjUr.dpuf
|