BEIRUT 25 Feb. - Krisis pelupusan sampah di Lebanon semakin merun­cing apabila pemandangan di jalan utama kawasan penempatan di barat laut ibu negara ini, dicemari dengan timbunan sampah sepanjang beberapa kilometer.
Berdasarkan laporan Mail Online, masalah tersebut bermula apabila pihak berkuasa menutup kawasan pelupusan sampah utama di Beirut pada Julai lalu, tetapi gagal menyediakan kawasan baharu bagi melupuskan beratus-ratus ribu tan sampah yang dibuang pada setiap hari.
Jelas laporan terbabit, kegagalan itu menyebabkan timbunan sampah di jalan semakin tinggi, sehingga keadaan disifatkan se­perti ‘sungai sampah’ di jalan utama di bandar Jdeideh.
Seorang penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Jawanah berkata, kawasan tempat tinggalnya itu merupakan tempat yang cantik sebelum krisis berkenaan berlaku.
“Kini hanya timbunan sampah memenuhi jalan dan kami tidak boleh melepasinya,” katanya.
Dalam pada itu, agensi kerajaan, Majlis Pembangunan dan Pembinaan Semula melaporkan, pelan untuk mengeksport sampah terbabit ke Rusia gagal dilaksanakan apabila syarikat yang bertanggungjawab menguruskan hal ter­babit gagal menghantar kertas kerja mengikut masa yang ditetapkan.
Jurucakap agensi tersebut, Mona Kalot berkata, situasi itu me­rosakkan imej negara dan masalah tersebut perlu diselesaikan segera.
“Kami belum menemukan penyelesaian yang sesuai, tetapi sedang berusaha ke arah itu.
“Saya tidak fikir sampah-sampah tersebut akan dihantar ke luar negara,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.SKnsjPdT.dpuf
|