Fathia Latiff Sangkal Dakwaan Bakal Nikah Dengan Baim Wong
Sebelum ini sebuah penerbitan ternama di Indonesia milik MNC Media, Okezone telah memetik kata kata Baim Wong yang mendakwa beliau bakal bernikah dengan gadis pilihan beliau sekitar tahun hadapan selain memohon doa peminat.
Artikel yang dikeluarkan pada Februari lalu itu turut memuatkan sekeping gambar Baim Wong bersama pelakon Malaysia, Fathia Latiff yang didakwa media tersebut sebagai bakal isteri Baim Wong — gambar itu juga didakwa diberi sendiri oleh Baim Wong.
Setelah membiarkan teka teki menjadi persoalan, Fathia Latif akhirnya tampil menerusi kemaskini terbaru laman Instagram miliknya.
Pelakon drama bersiri Plan Cinta Tak Jadi itu memuatnaik paparan skrin berita yang disiarkan di sebuah laman blog dan menyangkal dakwaan tersebut.
“Not true. Next time tanya dulu please. Tak baik sebarkan fitnah. Moga Allah lindungi kita semua dari fitnah. Amin,” tulis Fathia ringkas.
Sekitar dua bulan lalu, Fathia bersama Baim dan rakan-rakan artis lain seperti Remy Ishak, Syarul Ridzwan, Juliana Evans dan Nora Danish berlepas ke New York bagi menjalani penggambaran drama arahan sutradara Erma Fatima.
Sebelum ini, Baim pernah dikaitkan dengan pelakon Elfira Loy. Namun begitu, mereka senang menggelarkan hubungan yang terjalin sebagai teman rapat sahaja. Fathia pula kini kembali solo setelah putus cinta dengan aktor Aiman Hakim Ridza beberapa bulan lalu.
|