PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza tidak akan melupakan jasa baik komposer terkenal Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang bertanggungjawab meletakkan karier seninya pada tahap hari ini.
Siti, 37, turut mengimbau kenangan dia pernah menumpang di sebuah bilik rumah Adnan atau digelarnya sebagai Abang D ketika baharu bergelar sebagai penyanyi.
"Saya teringat pernah menumpang di rumahnya ketika baru jadi artis dan Abang D bagi saya tidur di sebuah bilik kosong di rumahnya serta menjaga makan minum saya.
"Ketika itu arwah baharu sahaja berkahwin dan saya tidak akan lupakan kebaikkannya itu sampai ke akhir hayat," katanya.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Adnan, 57, meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 pagi Jumaat akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah buah pinggang dan serangan angin ahmar.Adnan meninggal dunia pada pagi Jumaat. Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang, pada pukul 2 pagi Khamis.
Dalam pada itu, Siti berkata, dia terharu dengan kesudian Adnan yang sanggup meluangkan masa untuk memimpin kumpulan pemuzik menerusi lagu Jerat Percintaandan Azimat Cinta ketika konsert umpluggednya pada April tahun lalu.
Kata Siti, meskipun ketika itu kesihatan Adnan sudah merosot namun arwah tetap bersemangat untuk mengiringi persembahannya dan ia adalah antara momen terbaik dalam hidupnya.
"Saya berasa puas kerana sempat mengadakan persembahan bersama-sama pada konsert berkenaan kerana semangatnya cukup kuat meskipun sedang menanggung kesakitan.
"Abang D akan terus menjadi inspirasi kepada ramai penyanyi dan masyarakat secara umumnya kerana legasi ditinggalkan cukup besar," jelasnya.
ADVERTISEMENT
Adnan ketika hadir ke Konsert Unplugged Datuk Siti Nurhaliza untuk mengiringi persembahan penyanyi itu. Sementara itu, Siti berkata, dia berasa sayu apabila menatap wajah Adnan buat kali terakhir ketika jenazah dibawa ke Masjid Al-Falah dekat sini namun reda dengan pemergiaan itu.
"Alhamdulillah wajahnya jernih dan tersenyum. Inilah kelebihan yang Allah berikan kepada Abang D selain terpilih dijemput pada hari Jumaat yang mulia.
"Sebagai individu yang rapat dengannya biarpun sedih akan kehilangannya saya reda dengan ketentuan-Nya kerana Allah lebih sayangkan dia," katanya.
Dalam perkembangan sama, penyanyi yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilemaciptaan Adnan iaitu Nora terkilan apabila perancangan Adnan untuk mengadakan sebuah konsert menghimpunkan anak didiknya tidak dapat dilaksanakan ketika hayatnya.
Bagaimanapun kata Nora, dia berharap persembahan itu dapat diadakan pada masa hadapan sebagai tribute kepada komposer tersebut.
Nora Ariffin
"Ketika Abang D memberitahu tentang perancangannya itu saya teruja tetapi kesihatannya yang merosot membuatkan ia tidak dapat dilaksanakan.
"Harap-harap ada pihak sudi untuk mengadakan konsert berkenaan sebagai mengimbau kembali jasa arwah kepada industri.
"Beliau bukan sahaja seorang komposer tetapi juga ada magik untuk menaikkan seseorang artis dan sentuhannya sentiasa menjadi kegemaran pendengar," katanya.
|