Tilawah Peringkat Kebangsaan bermula
JUANI MUNIR ABU BAKAR | 23 Mac 2016 1:08 AM
PUTRAJAYA 22 Mac - Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-59 yang berlangsung di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini memulakan tirainya dengan menyaksikan empat qari dan empat qariah memperdengarkan bacaan hari ini.
Majlis tersebut yang julung-julung kali dianjurkan secara bersama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan PPj berlangsung selama enam hari bermula semalam sehingga 26 Mac ini.
Bacaan al-Quran pada malam ini dimulakan dengan qari Perlis, Mohd. Mawardi Jamaludin bermula daripada ayat 68 surah al-Qasas dengan taranum rasd dan hijjaz dengan diikuti qariah dari negeri sama, Norsyafirah Jusoh yang memperdengarkan ayat 19 surah al-A’raaf menerusi taranum jiharkah dan nahawand.
Qari Johor, Mohamad Zakiuddin Hanafi pula membacakan ayat 88 surah al-Mu’minun menerusi taranum rasd dan sika, seterusnya diikuti peserta wanita dari Terengganu, Nor Jannah Abd. Rahman yang memperdengarkan bacaan bermula ayat kesembilan surah al-Israk dengan taranum nahawand dan sika.
Sementara itu, qari Sarawak, Hadi Mohd. Sharkawi membacakan surah al-Anbiyaa bermula ayat 83 dengan taranum rash dan nahawand, manakala Che Aminah Che Awang, qariah dari Wilayah Persekutuan memperdengarkan ayat 21 surah al-Anaam menerusi alunan taranum hijjaz dan rasd.
Dalam pada itu, qari Kelantan, Abdullah Fahmi Che Nor Shukri memperdengarkan ayat 41 surah al-Maryam, manakala johan menunggu atau johan qariah tahun lalu, Siti Husnaa Hassan pula membacakan surah al-Nahl bermula ayat 65 dan masing-masing bakal mengalunkan taranum hijjaz dan soba.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59 yang bertemakan Perpaduan Nadi Transformasi Negara.
Sepanjang majlis itu berlangsung, sebanyak 28 qari dan qariah dari setiap negeri akan memperdengarkan bacaan masing-masing dengan diadili oleh 15 juri yang berkaliber dan berpengalaman sebelum keputusan akhir diumumkan pada Sabtu ini.
Setiap johan bagi qari dan qariah akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000, sebuah piala iringan, sebuah kereta Proton Exora, pakej menunaikan fardu haji, cenderamata dan sijil penyertaan, manakala naib johan untuk kedua-dua kategori ini akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, cenderamata dan sijil penyertaan.
Bagi tempat ketiga untuk setiap kategori pula akan menerima wang tunai sebanyak RM7,000, cenderamata dan sijil penyertaan.
Majlis tilawah itu turut disiarkan secara langsung di saluran RTM TV1 dan TV AlHijrah, melalui radio Nasional FM serta IKIM FM atau pun melalui web TV Jakim dengan melayari laman web www.jakim.tv.