CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

123Next
Return to list New
View: 11460|Reply: 40

[NOVEL]: JIKA KUTULIS DI SINI (U)

[Copy link]
Post time 28-3-2016 12:01 PM | Show all posts |Read mode
Edited by aylanins at 30-3-2016 08:23 AM

BAB 1

MATA YUNUS bercahaya-cahaya apabila melihat bubur nasi ayam yang dibekalkan oleh ibunya. Air kopi O di dalam termos biru dia tuang ke dalam gelas. Nampak menyelerakan saja bubur nasi ayam di dalam bekas biru itu, Yunus sudah telan air liur. Cepat-cepat dia baca doa makan.  

Tadi rehat jam sepuluh pagi, Mukmin ajak dia makan karipap dan minum kopi panas di kantin. Betapa pun dia tidak mahu kecilkan hati Mukmin, tetap dia menolak ajakan Mukmin dengan sopan. Mana tidak, dalam perjalanan balik dari site tadi, dia sudah terkenang-kenang bubur nasi ayam yang ibu bekalkan untuk minum jam sepuluh pagi. Nanti kalau balik rumah, mesti ibunya akan bertanya, kenapa bubur nasi ayam yang sedap itu tidak dimakan.

Nanti tengah hari, ada lagi emak bekalkan nasi putih lauk kari ayam dansayur kacang panjang goreng kicap. Tentu emak suka kalau bekalan makanannya habis semua. Ceh, dasar anak emak betul, Yunus sudah suap bubur nasi ke dalam mulutnya.

“Tak makan kat kantin Yunus?” sapa Encik Kamarul yang baru masuk ke dalam pantri itu. Antara ramai-ramai staf bahagian mekanikal di sini, dia selalu saja nampak Yunus makan di sini seorang diri. Staf yang lain rata-ratanya beli makanan di kantin. Makan pun di kantin juga. Yunus ini saja yang suka bawa bekal makanan dari rumah.

“Ada bekal encik,” sahut Yunus sopan.

Encik Kamarul itu jurutera mekanikal di kilang simen ini. Boslah kiranya. Yalah, jurutera-jurutera di sini kiranya bos. Bos sebenar, tuan pengarah yang duduk di kerusi empuk dalam bangunan pentadbiran sana manalah tahu kerja-kerjadi site sini. Semua harap seratus peratus pada jurutera, juruteknik dan mekanik.

“Nampak Encik Selamat tak? Dari pagi tadi tak ada di bilik dia. Ada staf baru masuk 4 orang,” mug berisi kopi panas Encik Kamarul letak di atas meja.

“Encik Selamat di silo simen dari pagi tadi. Maintenance conveyor belt tak habis lagi. Saya di situ dengan diaorang pagi tadi,” terang Yunus.

Cement silo? Awak team Freddy ke?” tanya Encik Kamarul. Dia bukannya ingat sangat siapa dalam team siapa. Dengar kata-kata Yunus, baru dia teringat, team Frederick dijadualkan buat maintenance di silo simen dua hari ini bermula hari ini. Padanlah Selamat di situ. Bukankah Selamat Head of Safety Department.

“A-ah. Saya team Freddy,” jawab Yunus.

"Tak apalah, nanti saya ke silo simen jam tiga begitu. Esok atau lusa pun boleh juga dia briefing kat sraf baru, cuma kalau hari pertama terus briefing, lagi elok," Encik Kamarul sudah capai sekeping biskut Cream Crackers dan mencicahnya ke dalam kopi panasnya.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-3-2016 12:07 PM | Show all posts
Assalamualaikum...

Saya harap mod tidak marah saya buka cerita baru. Cerita saya yang terbengkalai (yang dulu-dulu), err... saya update dalam laptop sajalah ya
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-3-2016 12:21 PM | Show all posts
Edited by aylanins at 28-3-2016 12:25 PM

PANAS BETUL CUACA HARI INI, Peah memandang kawasan persekitaran kilang simen itu. Berdebu putih di mana-mana. Padanlah tadi staf di stor siap pesan supaya pakai topeng keselamatan kalau berjalan di site. Kasut but yang diberi padanya tadi betul-betul membantu. Itulah, siapa suruh hari pertama datang sini pakai kasut tumit tinggi satu inci. Lepas itu pakai pula baju kemeja lengan panjang dan seluar panjang hitam, betul-betul gaya macam setiausaha hendak kerja di pejabat saja. Nasib baik kasut but itu kasut subsidi, diberi percuma sepasang kepada mana-mana staf baru. Nasib baik juga ada sepasang lagi saiz 4 yang tinggal.

“Kaki Cinderella betul kau ni. Kaki orang sini semuanya saiz 7, 8 ke atas. Nah, habis dah stok saiz 4 aku. Ini saja yang tinggal,” kata Fadil yang jaga stor barang sambil hulur kasut but saiz 4 kepada Peah.

Kecil betul kaki budak ini, atas bawah Fadil memandang Peah. Entah macam manalah budak perempuan berkaki saiz Cinderella begini boleh terlepas ke bahagian mekanikal. Bahagian mekanikal itu setahunya semua staf lelaki. Tahan ke budak perempuan ini di situ? Panas, berdebu, turun naik silo, kerja dalam bengkel, Fadil pula yang macam susah hati.

Dia pandang pula Ida yang berdiri di sebelah Peah. Ida itu okaylah juga, kaki saiz 6. Senang saja cari kasut but bersaiz begitu. Sini, di kilang simen ini, kasut but lelaki perempuan sama saja jenisnya. Tak ada istilah kasut but lelaki lain jenis, kasut but perempuan lain fesyen. Pukul rata semua pakai jenama dan jenis kasut but yang sama.

“Helmet tak ada stok. Helmet kena beli sendiri. Tapi cuba tengok kat bengkel mekanikal, ada helmet lebih rasanya,” kata Fadil lagi selepas segenap penjuru stor itu dia selongkar. Mana ada helmet keselamatan lagi. Sini semua orang beli helmet sendiri.

Sebab itulah Peah sekarang memakai helmet keselamatan berwarna putih yang sudah kepam dengan bau peluh. Dia gosok-gosok hidungnya. Adalah juga sedikit bau hapak helmet di atas kepalanya itu menusuk menyengat hidungnya.

“Helmet busuk,” sempat Ida berbisik pada Peah bila mereka berdua agak ke belakang sedikit dari Pakcik Piee.

Ida gosok-gosok hidungnya. Kena beli juga helmet macam ini. Takkan hendak bertahan pakai helmet yang lembab dengan peluh berbau macam ini.

“Pakcik, helmet macam ini berapa harga sebiji ya?” tanya Peah sambil cepat-cepat berjalan menyaingi langkah kaki Pakcik Piee di hadapannya. Ida yang baru dia kenal semasa melapor diri pagi tadi sudah dua langkah di hadapannya. Cepat juga Ida ini melangkah.

Company pesan sekaligus selalunya. Stor tak ada stok ke?” tanya Pakcik Piee pada Peah di sebelahnya.

Peah ini macam lebih kurang sebaya anak perempuannya yang sulung. Cuma Peah ini agak kurus, anak daranya pula sedikit gempal. Peah ini sederhana tinggi, Jun yang menuntut di Politeknik sana tinggi. Jun itu tinggi besar. Kulit Peah yang hitam manis itu sajalah yang betul-betul sama macam anak sulungnya si Jun itu.

“Tak ada.” Peah mengesat peluh yang sudah merenik di wajah. Rasanya tak sampai pun lima minit berjalan dari pejabat mekanikal ke bengkel mekanikal ini, kemudian selesai saja tawaf bengkel mekanikal, belakang bajunya terasa sudah lencun dengan peluh. Wajah pula terasa macam ditempek masker bengkoang Mustika Ratu. Matilah, lepas ini makin beranak-pinaklah jerawat di mukanya. Kenapalah dia boleh dapat kerja di kilang simen berdebu macam ini, Peah sudah terasa rimas.

“Itu silo simen, tempat simpan simen yang bakal dipacking,” macam pemandu pelancong pula Pakcik Piee rasa sebaik saja dia, Peah dan Ida lalu di hadapan bangunan berbentuk silinder di sebelah kiri mereka. Peah mendongak ke atas. Tingginya silo ini ya ampun. Macam ada tangga di atas silo itu. Kena panjat ke? Apa pula benda macam menara di atas sana? Terkebil-kebil mata Peah mengitari sekeliling kilang ini. Ini semua ada masuk dalam silibus di universiti ke?

“Semua staf sini lelaki. Tu pakcik Bad. Kalau tak ingat nama, panggil pakcik saja. Semua kami kat sini, panggil pakcik cukup. Tak ada orang bujang kat sini,” sambung Pakcik Piee lagi sambil menunjuk ke arah Badrul yang sedang memandu jentolak.

Hesy, Pakcik Piee siap cakap lagi tak ada orang bujang di sini. Parah begini. Huh, baru hari pertama, semangat Peah sudah merudum jatuh 30 peratus.

Baru mahu berharap kut-kut ada jurutera bujang lagi kacak sejuk mata memandang untuk dibuat calon suami, Pakcik Piee awal-awal lagi sudah cakap tak ada orang bujang.

“Bad! Tumpang!”

Badrul menoleh. Jentolak yang dipandunya juga terhenti.

Tumpang? Dahi Peah sudah berkerut. Tumpang apanya pakcik? Dia dan Ida saling berpandangan.

“Piee. Budak baru ke?” tegur Badrul memberhentikan kerjanya.

“A-ah. Nak bawa jumpa Encik Selamat. Encik Selamat mana?”
“Silo simen. Tukar conveyor belt dengan team Freddy.”

“Kerja ofis ke kerja site?” tanya Badrul sambil matanya atas bawah memandang pakaian gadis berkulit hitam manis yang berdiri di sebelah Piee.

Yang berkulit kuning langsat dengan jeans dan kemeja lengan panjang dan jaket hijau itu kiranya sesuai jugalah kerja di sini. Tapi yang bertudung hitam itu, kemeja lengan panjang tapi seluar slack serupa macam Jenny yang kerja di bahagian marketing di bangunan pentadbiran sana.

“Site. Bengkel mekanikal,” Piee mengunjuk pada Ida dan Peah.  

Single lagi atau dah kahwin?” tiba-tiba itu yang keluar dari mulut Badrul.

Single… aku dah tanya,” jawab Piee. Dia tahu kenapa Badrul tanya soalan begitu. “Aku pun takut juga, kau teringat lagi kes budak perempuan dari Politeknik dulu ke?”

“Ha-ah. Takut aku. Dia tak cakap pun dah kahwin, tup-tup mengandung dua bulan, Jat dan Kamal bawa turun naik silo. Sudahlah tu, selalu juga budak tu tumpang jentolak aku pergi jeti sana. Lasak habis, semua tempat Jat dan Kamal pergi, dia ikut. Nasib baik tak keguguran ke apa ke.”

“Kes apa pakcik?” telinga Ida tajam saja mendengar.

“Heh! Kisah budak Politeknik dulu. Datang sini tak cakap pun dia dah kahwin. Dia ikut buat maintenance kat atas silo sana, turun naik tangga, kadang-kadang turun naik silo meniti atas conveyor belt. Budak tu tak sedar dia mengandung dua bulan masa awal-awal datang tu. Dah dua bulan kat sini, masa tu kandungan dia masuk usia empat bulan, baru dia sedar. Terus Encik Selamat pindahkan dia masuk dalam control room.” Beria-ia Pakcik Piee bercerita.

Kecoh juga masa itu. Mana tidak, budak perempuan itu mengandung dua bulan, lepas itu lasak bukan main ikut technician ke sana-sini buat maintenance di site.

“Naiklah… aku hantar ke silo simen,” pelawa Badrul. Dia membetulkan letak duduknya di kerusi jentolak itu.

“Naik Peah, Ida. Penat kalau jalan kaki ke sana, kita tumpang saja Pakcik Bad ni,” Pakcik Piee sudah bertenggek di kiri jentolak itu sambil sebelah tangannya memegang kerusi pemandu.

Peah tidak tunggu lagi. Gila tak suka! Naik jentolak hoho… impian zaman budak-budak tercapai akhirnya. Cepat saja Peah memanjat naik ke atas jentolak itu, bertenggek di tepi tempat duduk pemandu sebelah kanan. Ida sudah berdiri rapat-rapat di belakang kerusi pemandu.

Jentolak yang tidak berpintu itu bergerak menuju ke bangunan silo simen dengan dipandu oleh seorang pemandu bertauliah dan tiga orang penumpang tidak berdaftar. Peah dan Ida sudah tersengih-sengih di atas jentolak. Nanti balik rumah, boleh tulis dalam diari konon, Peah sudah mahu tergelak.

Dear diary…

Hari ini kami naik jentolak weehuuuu…


Reply

Use magic Report

Post time 28-3-2016 01:13 PM | Show all posts

weeehhuu....

ada cerita baru...

ayla..suruh peah spray febreeze kat safety helmet tu...barulah wangi...
Reply

Use magic Report

Post time 28-3-2016 02:12 PM | Show all posts
macam best je... aduiyaiiii...
Reply

Use magic Report

Post time 28-3-2016 04:35 PM | Show all posts
weh...nak bebel ni...
hat ni, hang toksah duk sekerat2 jalan..

ni watak peah yang pegang mikrofon dulu tu ka??
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 29-3-2016 09:44 AM | Show all posts
UsuFie replied at 28-3-2016 01:13 PM
weeehhuu....

ada cerita baru...

Baik, menjunjung perintah . Nanti aku pesan kat Peah suruh sembur Febreeze
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-3-2016 09:45 AM | Show all posts
prettyuglybabe replied at 28-3-2016 02:12 PM
macam best je... aduiyaiiii...

Alamak... ni aku takut sebab ada reader title moderator baca.
Harap-harap cerita ni tak sekerat jalan
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 29-3-2016 09:50 AM | Show all posts
Ipo replied at 28-3-2016 04:35 PM
weh...nak bebel ni...
hat ni, hang toksah duk sekerat2 jalan..

Ala... aku baru nak lupakan 'kisah silam' aka 'kisah-suka-buat-cerita-sekerat-jalan' ko dah timbulkan balik .

Saya berikrar akan mengurangkan aktiviti bercanda di Facebook dan membanyakkan entry .

Ya, ini lebih kurang macam Peah yang sama yang ada kes mikrofon tu .
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-3-2016 09:51 AM | Show all posts
Edited by aylanins at 30-3-2016 08:22 AM

BAB 2


Padi segemal kepuk di hulu,
Sirih di hilir merekap junjungan,
Kepalang duduk menuntut ilmu,
Pasir sebutir jadikan intan.

ISI IKAN TILAPIA masak kukus Yunus cubit sedikit isinya. Kemudian dia suap isi ikan yang sudah dikepal dengan nasi putih ke dalam mulutnya. Berselera benar dia makan kalau ibu yang masakkan padahal rehat jam sepuluh pagi tadi sudah makan bubur nasi ayam. Kemudian rehat tengah hari tadi pun sudah jamah nasi putih berlaukkan kari ayam.

Tapi itulah, agaknya memang sebab kerja kilang macam dia ini, perut sentiasa lapar. Sampai saja ke rumah, dia sudah hayun pinggan nasi. Terasa seolah-olah dia sekarang hanya tahu makan, kerja, dan tidur saja.

“Ada orang telefon ni Yunus,” Mak Hawa tiba-tiba muncul di dapur. Telefon genggam anaknya dia letakkan di atas meja makan. Yunus ini kalau makan, macam orang kebulur benar.

“Tak ada nama. Biarlah dulu. Belum solat lagi ni,” selamba Yunus menjawab bila melihat yang tertera di skrin telefon itu cuma nombor telefon dan bukannya nama orang.

“Kesian orang tunggu,” Mak Hawa sudah tarik satu kerusi di sebelah anaknya. Yunus ini kerja kilang simen, kalau balik dari kerja, memang cepat lapar. Sebab itulah waktu makannya tidak sama dengan orang lain. Orang lain di rumah ini makan malam selepas solat Maghrib, dia ini sampai-sampai saja di rumah, senja pun belum lagi, budak-budak masih di padang bermain bola sepak, Yunus sudah ambil nasi mahu makan malam.

“Azam ada. Jamil ada. Ada tiga nombor kami letak kat situ,” jawab Yunus sambil cubit lagi isi ikan.

Itu mesti orang yang menelefon minta bantuan baiki motosikal. Sejak dua tahun lepas, dia dan kawan-kawan rapatnya buat perkhidmatan mekanik bergerak. Sasaran mereka cuma motosikal yang rosak sahaja.

Iklan ada mereka tampalkan di serata bandar ini, tapi tidak semua kawasanlah. Kawasan yang dekat-dekat dengan tempat mereka tinggal saja. Kalau tiba-tiba saja mana-mana penunggang motosikal ada masalah dengan motosikal mereka dan perlukan bantuan serta-merta, boleh telefon nombor dia dan kawan-kawannya.

Selalunya yang minta bantuan itu mesti telefon malam-malam sebab kalau malam, mana ada bengkel motosikal yang buka. Perkhidmatan yang mereka tawarkan ini lebih kepada perkhidmatan semasa kecemasanlah.

“Lapar betul kamu?” hairan pula Mak Hawa melihat Yunus makan beria-ia. Dia bekalkan Yunus makanan pagi tadi banyak juga, bubur nasi ayam untuk makan jam sepuluh dan nasi campur untuk rehat jam dua belas. Ini belum jam enam petang sudah makan malam.

“Buat maintenance tak henti tadi. Tarik conveyor belt yang berat tu saja dah berpeluh-peluh,” jawab Yunus. Tangannya cepat saja menyuap kepalan nasi ke dalam mulutnya. Ada staf baru pun bukannya boleh tolong. Tadi entah budak mana tah datang ke tempat silo simen tempat mereka buat kerja. Perempuan, dua orang. Kerjanya itulah saja, tolong tengok. Kalau tolong tarik getah conveyor belt yang berat itu tak apalah juga. Macam manalah bos kat atas boleh terfikir nak ambil budak perempuan kerja sini, fikir Yunus.

“Atas meja sana ada surat kamu datang. Macam penting saja,” kata Mak Hawa lagi.
“Surat apa?”
“Ada cop IKM.”

“Nantilah tengok,” jawab Yunus dengan nada endah tak endah. Kalau surat dari IKM atau Politeknik atau UiTM atau ICATS atau Kolej SEGI atau UNITAR dan entah apa-apa lagi surat berlambang kolej dan universiti datang ke rumah ini, itu mesti kerja Ilyas. Entahlah, bukan dia tak minat belajar, minat juga tapi kalau kursus yang kena belajar duduk dalam kelas merenung formula Matematik, Fizik, Bahasa Inggeris dan subjek pelik-pelik tu, memang dia tidak ada hati ke situ.
Reply

Use magic Report

Post time 29-3-2016 10:17 AM | Show all posts
aylanins replied at 29-3-2016 09:50 AM
Ala... aku baru nak lupakan 'kisah silam' aka 'kisah-suka-buat-cerita-sekerat-jalan' ko dah timbul ...


  hampir terlupa dgn peah mekropon....


lapor benar hero tu yer...makan tak toleh kiri kanan dah...



Reply

Use magic Report

Post time 29-3-2016 11:43 AM | Show all posts
aylanins replied at 29-3-2016 09:45 AM
Alamak... ni aku takut sebab ada reader title moderator baca.
Harap-harap cerita ni tak sekerat j ...

banyak tau cerita separuh jalan..
kesian kami ni tertunggu tunggu bak penunggu..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-3-2016 01:05 PM | Show all posts
UsuFie replied at 29-3-2016 10:17 AM
hampir terlupa dgn peah mekropon....

Peah mikropon dah besar sikit ni, dah tak gabra lagi .
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-3-2016 01:08 PM | Show all posts
prettyuglybabe replied at 29-3-2016 11:43 AM
banyak tau cerita separuh jalan..
kesian kami ni tertunggu tunggu bak penunggu..

Ampunnnnnnnnnn

Nah. Ni ada sikit entry baru
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-3-2016 01:09 PM | Show all posts
“DIA TAK NAK KE MAK?” tanya Ilyas yang baru tiba di rumah lewat malam itu. Tangannya membelek-belek beberapa keping surat di atas meja kopi di ruang tamu. Surat yang sampai ke rumah ini pun, bil-bil telefon, bil air, itu saja. Surat yang dialamatkan kepada Yunus dia baca dengan teliti.

“Bagus ni mak. Ambil sijil dulu, lepas itu boleh sambung diploma. Kalau tak silap, MARA ada bagi elaun,” kata Ilyas lalu duduk di sofa di ruang tamu itu. Surat bercop Institut Kemahiran Mara (IKM) itu dia baca dengan teliti.

Tawaran untuk mengikuti program sijil kejuruteraan di IKM. Yunus ini nak jadi apa sebenarnya, Ilyas pun tak faham adiknya itu. Disuruh sambung belajar dia tak minat. Ini setakat kerja jadi mekanik di kilang simen sana, sampai bila? Nanti kalau sudah kahwin, macam mana mahu tanggung anak bini, sudahlah gaji si Yunus itu pun seciput. Tengok itu, sampai kena buat kerja tambahan baiki motosikal orang malam-malam.

Siang jadi mekanik di kilang simen, malam mekanik bergerak, kalau ada orang telefon kata motosikal rosak, barulah dia keluar. Kalau sambung belajar ada harapan untuk dapatkan sijil, tak pun diploma atau ijazah, bolehlah mohon kerja yang elok sedikit. Sungguh Ilyas tak faham dengan pemikiran Yunus.

“Nak tunggu apa lagi? Umur makin meningkat. Takkan nak kerja gitu-gitu saja sampai ke tua. Dia pergi mana tadi?” suara Ilyas sudah naik satu aras tingginya.

Mak Hawa malas menyampuk. Bukan Ilyas saja yang geram, anak-anaknya yang lain pun tak faham dengan pendirian Yunus. Bukan Yunus itu tidak pandai. Keputusan SPM Yunus dulu boleh tahan cemerlang, sampai dapat masuk matrikulasi. Lepas itu sambung ijazah bidang kejuruteraan, tapi itulah nasib orang ini sukar diduga. Bertahan setahun saja dalam Kejuruteraan Mekanikal, entah di mana silapnya Yunus gagal, terus bungkus beg baju semua, balik kampung.

“Bukan apa mak, kita fikir juga masa depan dia. Ni umur dah nak masuk 28 tahun, makinlah Leyas ni susah hati tengok dia. Umur tu dah boleh nak kahwin. Nanti kalau dia kahwin, nak bagi makan apa kat anak bini. Dia bukannya kerja tetap kat kilang tu kan?” sambung Ilyas lagi.

Dia bukannya nak jaga tepi kain Yunus, bukannya saja pandai-pandai nak tentukan arah hidup adiknya, tapi sebagai abang sulung, kena ambil tahu juga hal adik-beradik lain, lebih-lebih lagi sejak dialah lelaki paling tua dalam keluarga mereka. Kak Sumayyah sungguhpun anak sulung, tapi Kak Su itu sibuk dengan anak dan suaminya.

Sebelum meninggal dunia, arwah ayah beberapa kali berpesan kepadanya, tengok-tengok adik-adik tu Ilyas. Sumayyah jangan disusahkan, sebab Kak Sumayyah itu perempuan, bila dia kahwin, dia sudah tak terikat sangat dengan keluarga, kamu yang lelaki ini yang kena ambil berat urusan keluarga, begitu pesan arwah ayah padanya dulu.

Mereka adik-beradik ada enam orang. Kak Sumayyah yang sulung dah bahagia dengan anak-anak dan suami. Dia sendiri anak kedua, anak lelaki sulung pula tu, sebab itu terasa sangat beban tanggungjawab sejak ayah meninggal dunia lama dulu. Tiga adiknya yang lain dia sudah boleh senyum lega sebab dua sudah tamat pengajian di universiti, yang bongsu saja masih belajar. Tinggal Yunus si anak keempat itu saja lagi yang buat dia susah hati.

Diploma tak ada.
Ijazah tak ada.
Sarjana dan Phd jauh sekali.
Sijil matrikulasi saja yang ada, tapi itu pun tak laku kalau hendak dijual.

Ilyas melipat kembali surat berlogo IKM itu elok-elok. Mana tahu dua tiga hari ini hati Yunus terbuka untuk tengok-tengok kembali isi surat itu.
Reply

Use magic Report

Post time 3-4-2016 04:03 PM | Show all posts
Sukaaa...
Utk hr ni sy bpuas hati

Harap bpuas hati hingga ke phujung
Ending Jgn buat2 lupa okeh
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 1-5-2016 05:57 PM | Show all posts
Wahai Tuan Tanah....

Bila nak sambung tulis di sini?

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-5-2016 02:16 AM | Show all posts
Nicki_Meow replied at 1-5-2016 05:57 PM
Wahai Tuan Tanah....

Bila nak sambung tulis di sini?

Baeklah... saya akan cuba sedaya upaya sambung menulis

Dulu macam senang je menulis, sekarang, keluar rumah jam 6 pagi, sampai rumah semula jam 6 petang .
Kalau hari-hari 1 Mei, cuti Hari Pekerja kan best ehehee...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-5-2016 09:29 AM | Show all posts
Edited by aylanins at 2-5-2016 09:33 AM

BAB 3


DULU PERNAH JUGA MASUK IKM, tapi bertahan dua bulan macam tu, lepas tu dapat tawaran sambung kat Politeknik. Politeknik ambil Kejuruteraan Mekanikal,” cerita Ida ketika dia dan Peah sama-sama berjalan menuju ke Bengkel Mekanikal. Jam lima minit lagi bakal menginjak ke pukul 8 pagi.

“Ooo… semester akhirlah sekarang?” tanya Peah ramah walaupun dia sebenarnya bukanlah peramah sangat. Hendak buat macam mana, di kilang simen ini cuma Ida saja yang sama spesies macam dia. Orang lain semuanya lelaki, kalau ada pun perempuan, duduknya di bangunan pentadbiran sana, bukan di site macam dia sekarang.

“Haah… lulus praktikal ini, gradlah kiranya. Harap dapat kerja terus, malaslah nak sambung belajar lagi,” sambung Ida. Cukuplah sampai diploma, kepalanya sesak sudah menghitung segala formula Matematik, Fizik itu semua. “Kau ambil kursus apa?”

“Aku Kejuruteraan Kimia, patutnya duduk control room sana. Tapi dua bulan pertama ini Encik Kamarul kata kena pergi site dulu. Biar faham banyak pasal proses ni semua,” jawab Peah sedikit tidak puas hati.

Baru masuk hari kedua, penatlah kerja site macam ini. Hari ini dia sudah pakai seluar jeans lusuh warna biru muda, baju T lengan panjang warna kelabu dan tudung kelabu. Jaket hijau fakulti dia ikat di pinggang. Panaslah hendak pakai lapis-lapis di sini. Belum jam lapan pagi dia sudah terasa bahang bekerja di tapak kilang ini.

“Bahagian safety ada seorang budak praktikal juga, tapi lelaki. Aku nampak dia dalam bilik Encik Selamat awal pagi tadi, masa aku dalam perjalanan hendak ke tandas,” sempat Ida melaporkan. Ini maklumat penting, sebab kalau ada pelajar praktikal macam mereka berdua, maknanya mereka berdua akan ada geng baru. Sini kan semua pakcik-pakcik.

“Iya? Tak ada perempuan lain ke?” Tanya Peah. Kalau ada perempuan lagi bukankah seronok. Tidaklah dia dan Ida saja terkulat-kulat bersembang berdua di waktu senggang. “Eh, tandas okay tak?”

“Nanti kau tengok sendiri. Kau tak pergi check tandas semalam ke? Eh, Peah cepat sikit. Orang dah berkumpul dengan Mr. Freddy.”

Cepat kaki Peah dan Ida melangkah menuju ke arah kumpulan pekerja yang sedang berhimpun di hadapan Mr. Freddy. Sesekali mata Peah memandang sekitar bengkel mekanikal.

Pekerja-pekerja di bengkel itu semuanya berdiri di hadapan Mr. Freddy. Kata Pakcik Piee semalam, Mr. Freddy ini Penolong Jurutera. Antara tugasnya setiap pagi ialah bahagi-bahagikan tugas kepada semua pekerja.

“Hari ini buat maintenance atas silo. Yunus mana ya? Tak datang lagi ke?” entah dari mana, tiba-tiba saja Pakcik Piee muncul di hadapan Peah dan Ida. Di tangannya ada kertas bergulung-gulung. Taklimat pagi baru saja selesai dan semua orang sudah dapat tugasan masing-masing untuk pagi itu.

Yang ke site, sudah mahu bergerak ke site. Mekanik lain yang kerjanya di hanya di dalam bengkel mekanikal untuk mengimpal atau melarik sudah bergerak ke kawasan kerja masing-masing.

“Kami ikut pakcik ke?” Tanya Peah. Harap-harap dapat ikut Pakcik Piee lagi hari ini. Pakcik Piee ini peramah, suka buat lawak. Orang separa pendiam macam dia ini sesuai sangatlah dengan orang banyak cakap macam Pakcik Piee itu.

“Satu minggu ni kamu berdua ikut pakcik. Eh, tolong cari Yunus kejap. Pakcik ambil barang kat stor dulu. Nanti kamu bertiga cari pakcik kat stor minyak sana. Suruh Yunus cepat sikit.”

Yunus? La, siapa pula Pakcik Yunus ni? Pakcik Piee sudah laju berjalan menuju ke arah stor. Ida sudah mencapai helmet warna kuning yang ada di atas meja buruk dekat pintu bilik persalinan. Bilik persalinan itu menempatkan lokar-lokar milik pekerja-pekerja bengkel itu. Dindingnya jenis cermin lutsinar, jadi boleh nampaklah keadaan dalam biliik persalinan itu.

Terang Pakcik Piee semalam, lokar itu untuk simpan baju-baju, dan bekal makanan atau minuman saja. Yalah, habis kerja petang-petang, selalunya mereka akan tukar baju seragam warna biru yang ada logo kilang dengan baju biasa. Seminggu sekali barulah baju seragam kerja itu dibawa balik ke rumah untuk dicuci. Kerja di tapak kilang begini, jangan kisah sangat kotor dan comot, kata Pakcik Piee lagi.

Ida belek-belek helmet di tangannya. Helmet kuning. Kalau putih itu jurutera punya, fakta itu dia tahu lama dah. Warna kuning ini pekerja am punya.

Semalam sampai rumah jam 6 petang, mana sempat hendak cari helmet keselamatan, lagipun dia mana tahu kedai jual benda itu. Dia ambil satu lagi untuk kegunaan Peah. Entah siapa yang punya helmet keselamatan yang ‘terdampar’ di meja buruk ini. Ida hidu-hidu helmet di tangannya. Yang busuk sikit ini dia bagi Peahlah, Ida sudah tersengih-sengih.

Peah pula pandang kiri kanan. Hendak tanya dengan siapa ya? Segannya dia ya ampun.

“Cari siapa dik?” tegur seorang lelaki yang tiba-tiba saja lalu di hadapan Peah.

Badrul. Haa… ini Badrul yang bawa jentolak semalam tu, Peah senyum manis.

“Pakcik Yunus. Pakcik Piee suruh kami cari Pakcik Yunus,” jawab Peah.

“Yunus? Yunus ya…” kepala Badrul sudah pusing 45 darjah, sekejap ke kiri sekejap ke kanan. “Yunus… mana Yunus ni?”

Bengkel mekanikal sudah riuh rendah dengan para pekerja yang masing-masing tahu apa yang harus dibuat hari itu. Mesin kimpalan (welding machine) sudah berbunyi nyaring, mesin pelarik (lathe machine) pun sudah berbunyi kretttt kretttt. Kepala Badrul tiba-tiba mengarah ke arah pintu masuk bengkel mekanikal.

“Tu… yang baru masuk bengkel… seluar kelabu, muka tutup separuh dengan bandana.”

“Okay… terima kasih pakcik,” Peah senyum lagi. Di sini semua lelaki kena panggil pakcik, begitu pesan Pakcik Piee semalam, sebab semuanya memang baya-baya pakcik pun berbanding mereka pelajar-pelajar praktikal ini.

Pakcik Yunus. Wah, wah, rock kapak juga Pakcik Yunus ini siap pakai bandana jadi penutup muka. Kaki Peah melangkah laju menuju ke arah Pakcik Yunus.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-5-2016 10:01 AM | Show all posts
YUNUS MENARIK BANDANA yang menutup separuh wajahnya ke atas sedikit. Kena pakai penutup hidung di sini sebab dia mana tahan dengan debu kilang simen ini. Hidungnya yang dilindungi oleh kain bandana itu dia gosok-gosok. Nampaknya semua orang sudah habis dengar taklimat pagi.

Dia bukan sengaja hendak datang lewat pagi ini, sebenarnya jam 7.50 pagi tadi dia sudah masuk pejabat mekanikal, cuma sampai ke bengkel ini lewat sepuluh minit selepas jam lapan. Entah kenapa tiba-tiba saja awal pagi boleh sakit perut.   

Helmet kuning yang berada di tangan dia letak di kepalanya. Matanya tiba-tiba terpandang ke arah Mr. Freddy yang memakai helmet berwarna biru. Segak betul gaya Mr. Freddy dengan helmet warna berbeza dari pekerja lain. Berdiri di sebelah Mr. Freddy pula ialah Encik Kamarul, jurutera mekanikal. Jarang nampak Encik Kamarul di bengkel ini, selalunya Encik Kamarul ada di control room.

Terus dia teringat cadangan-cadangan Ilyas.

Mungkin, dia perlu sambung belajar. Mana tahu tuah dapat pakai helmet warna biru macam Mr. Freddy, atau…

…helmet putih. Macam Encik Kamarul.

Ya, helmet putih!

“Pakcik Yunus. Pakcik Piee pesan suruh pergi stor minyak. Dia dah tunggu kat situ.”

Yunus angkat wajahnya. Terkelip-kelip matanya memandang wajah di hadapannya.

Budak semalam. Gadis berkulit hitam manis dengan jerawat dua tiga biji di dahi itu dia pandang. Pakcik?
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 02:53 PM GMT+8 , Processed in 0.077735 second(s), 45 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list