Satu sindiket pengedaran arak tiruan pelbagai jenama terkemuka dikesan mengaut keuntungan berlipat ganda dengan menjadikan sebuah rumah teres di Taman Segar Perdana, Cheras di sini, sebagai stor penyimpanan bahan itu sebelum dijual kepada pengusaha pusat hiburan dengan harga mencecah ribuan ringgit, semalam.
Difahamkan, bagi mengaburi pihak berkuasa dan pembeli, sindiket itu menggunakan label atau pelekat menyerupai pembungkusan botol asli yang ditempah khas oleh pihak tertentu dari luar Semenanjung Malaysia. Sindiket terbabit dipercayai menghasilkan sendiri arak buatan mereka sendiri sebelum ia dicampurkan dengan arak berjenama bagi memastikan rasanya seakan sama dan dijual dengan harga lebih murah kepada pengusaha pusat hiburan berbanding harga sebenar pasaran.
Harga bagi arak tiruan itu bergantung kepada jenis dan jenama yang kebiasaannya dijual antara RM90 hingga RM3,400 bagi setiap kotak mengandungi setengah atau sedozen botol minuman itu.
ANGGOTA penguat kuasa merampas botol arak tiruan berjenama di sebuah rumah di Taman Segar Perdana, semalam. Kegiatan haram sindiket itu berjaya dihidu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya sebelum melakukan serbuan di rumah berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari. |
ADVERTISEMENT