CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Misteri & Sejarah Lihat artikel

Empayar Uthmaniyyah

27-6-2014 02:43 PM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 3475| Komen: 0




Empayar Turki Uthmaniyyah (Turki Uthmaniyyah: Devlet-i Aliye-i Osmaniye; Turki Moden: Osmanlı İmparatorluğu; Arab: الدولة العثمانية, al-Dawlaṭ al-'Uthmānīyyaṭ) keluarga Bani Osmani ini adalah sebahagian kecil dari keseluruhan suku-suku bangsa Turki yang dikenali sebagai bangsa Turki yang masuk ke Asia Kecil semenjak abad ke sebelas yang lalu. <
Bangsa ini adalah pemimpin-pemimpin yang terus-menerus berjuang menentang Byzantine, terutama setelah mereka bergerak ke barat laut Anatolia di abad ke-13. Pengikut-pengikutnya direputasikan sebagai ghazi atau lebih mudah dikenali sebagai parajurit yang berjuang memerangi Kristian kerana jihad untuk menegakkan Islam, dan mengecapi kejayaan.
Di sinilah wujudnya empayar atau kerajaan Uthmaniah, yang menampung kerajaan-kerajaan kecil bangsa Turki yang lain. Pemerintah Uthmaniyyah melihat diri mereka sebagai "pemerintah universal" dan waris kepada Empayar Rom dan Islam, maka terjadilah "penyatuan kebudayaan".
Pada tahun 1357 mereka menyeberangi Dardanelles menuju ke semenanjung Gallipoli dan sebelum akhir abad ke-14 mereka telah menduduki beberapa kawasan dibawah kerajaan Byzantine, termasuk Greece dan Bulgaria.
Constantinople (kemudian ditukar nama kepada Istanbul) jatuh ke tangan kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1453. Pada tahun 1526 sebagian besar wilayah Hungary telahpun berada di bawah kekuasaan Uthmaniyyah. Kerajaan Uthmaniyyah mempunyai angkatan laut yang handal di Lautan Tengah dan melaksanakan tugasnya dalam perang dengan Sepanyol dan kuasa-kuasa Eropah yang lain.
Algeria segera mereka kuasai dan akhirnya menambahkan Tunisia sebagai wilayah kerajaan Uthmaniyyah. Uthmaniyyah juga melanjutkan peluasan kuasanya dengan menuju ke bahagian tenggara, menduduki Iraq dan bahagian-bahagian wilayah Arab yang lain.
Bagi bangsa Eropah Barat, kemajuan Uthmaniyyah merupakan keganasan Islam. Dengan ini mereka menegaskan bahawa Islam adalah agama kekejaman dan agama pedang yang menakutkan.
Maka tidak hairanlah pada tahun 1542, Dewan Kota Praja Basel di Switzerland membekukan penerbitan terjemahan Al-Quran yang diterjemahkan oleh Robert dari Ketton.
Dewan Kota Praja ini membantah dengan mengatakan "dongeng dan bid'ah yang dibuat-buat" dalam Al-Quran itu akan mengganggu penganut Kristian Pada akhir abad ke-17, kelemahan kerajaan Uthmaniyah mulai terserlah selepas satu setengah abad berkuasa. Pengepungan ke atas Vienna di tahun 1683 turut menemui kegagalan dan kerajaan Uthmaniah kini pula menghadapi Persekutuan dari Austria, Poland, Venice dan Paus, dan bangsa Rusia.
Semenjak tahun 1699 mereka telah banyak menemui kekalahan dan di dalam perjanjian damai Karlovitz, Uthmaniyyah harus mempersetujui penyerahan wilayah-wilayahnya kepada Austria, Vennice dan Poland.
Walaupun demikian, mereka tetap mempertahankan hak mereka di bahagian tenggara Eropah, termasuk pantai barat dan utara Laut Hitam. Namun pada abad ke-19, kerajaan Uthmaniyyah kembali kehilangan sebahagian besar dari wilayah taklukkannya yang dimulai dengan kemerdekaan Greece pada tahun 1829 dan pendudukan Perancis ke atas Algeria pada tahun 1830.
Kerajaan Uthmaniyyah menjadi "the sick man of Europe" iaitu Orang Eropah yang sakit dan hanya persaingan mereka inilah yang mencegah terjadinya perpecahan-perpecahan yang dahulunya pernah terjadi.
Setelah kekalahannya dalam Perang Dunia I di tahun 1912-1919, semua wilayah ini masih tetap berada di bawah Kerajaan Uthmaniyyah, dengan wilayah Eropahnya adalah kawasan di sekitar Istanbul meluas sampai ke sebelah utara Edirne (Adrianople) dan ke barat sampai ke Gallipoli.
Bangsa Turki di bawah kekuasaan Mustafa Kamal Ataturk telah menghapuskan nama Kerajaan Uthmaniyyah pada 1922 dan diganti dengan Republik Turki. Wilayah-wilayah jajahan di Asia dan Afrika dahulu telah hilang kecuali Anatolia yang masih berada di wilayah Republik Turki ini.

Sejarah

Wilayah Uthmaniyyah pada mulanya dikenali sebagai Beylik di dalam Kerajaan Turki Seljuk pada kurun ke-13. Pada tahun 1299, Uthman I mengisytiharkan kemerdekaan Wilayah Uthmaniyyah dan mengasaskan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Penubuhan dan Kemajuan (1299-1453)

Rencana utama: Penubuhan Turki Uthmaniyyah
Semasa penubuhan dan perkembangan Empayar Uthmaniyyah, karakteristik empayar ini tidak boleh disoal lagi lebih-lebih lagi semasa pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih. Hal ini menjadikan Empayar Uthmaniyyah istimewa dalam sejarah ketamadunan manusia.

Sepanjang kurun ke-16, Empayar Uthmaniyyah terus berkembang daripada segi wilayah dan kekuasaan dengan mengembangkan kekuasaan sehingga ke Afrika Utara di barat daya dan Parsi di sebelah timur. Semasa Pertempuran Chaldiran, di sebelah timur Anatolia, (sekarang di barat Tabriz, Turki) pada tahun 1514, tentera Uthmaniyyah di bawah pimpinan Sultan Selim I memenangi pertempuran menentang tentera Parsi. Hal ini memastikan keselamatan wilayah Uthmaniyyah di sebelah timurnya. Selepas itu tumpuan Empayar Uthmaniyyah beralih kepada bahagian barat empayar terbabit. Sultan Sulaiman I, selepas menaiki takhta pada tahun 1518, mengetuai beberapa siri ketenteraan di Balkan. Di bawah Suleiman yang juga merupakan seorang strategis yang hebat, tentera Uthmaniyyah mara ke utara dengan menguasai Belgrade (1521), mengalahkan Hungary (1526), dan menyerang Vienna (1529).

Kejayaan pengembangan kuasa Uthmaniyyah pada kurun ke-16 adalah kerana kemahiran bersenjata api dan taktik peperangan di samping kesempurnaan sistem ketenteraan. Tentera Uthmaniyyah juga amat mahir dalam melakukan serangan dan kepungan kerana serangan seperti ini mendatangkan kesan kemusnahan yang teruk terhadap musuh mereka.

Salah satu contoh terbaik untuk menunjukkan kemahiran mereka menyerang atau membuat pengepungan ialah semasa peristiwa penaklukan Constantinople (Istanbul) pada tahun 1453. Semasa serangan terbabit, meriam-meriam besar digunakan bagi memusnahkan tembok yang tinggi dan tebal. Meriam-meriam ini diperbuat daripada gangsa dan dibawa berdekatan dengan kota ini menggunakan banyak tenaga manusia disamping penggunaan kerbau dan lembu kerana berat yang melampau meriam-meriam ini. Meriam-meriam ini kemudiannya ditanam di sebelah hujung bagi menyerap tekanan letupannya. Seorang panglima Austria pernah berkata bahawa tentera Uthmaniyyah amat "kebal" semasa musim panas. Keterangan ini nyata benar memandangkan banyak kejayaan dicapai semasa kempen-kempen perangnya.

Perkembangan (1453-1683)

Perkembangan kekuasaan Uthmaniyyah boleh dikategorikan kepada dua zaman. Zaman pertama boleh dikatakan semasa berlakunya penaklukan dan perkembangan kuasa; iaitu bermula daripada penawanan Constantinople pada tahun 1453 sehinggalah kemangkatan Sultan Sulaiman al-Qanuni (Suleiman the Magnificent) pada tahun 1566.

Selepas berakhirnya zaman pertama, zaman kedua pula muncul iaitu semasa struktur pentadbiran mula menunjukkan kelemahannya akibat daripada perebutan kuasa dan rasuah iaitu dari tahun 1566 sehinggalah kegagalan serangan ke atas Vienna pada tahun 1683.

Bagi meluaskan pengaruh dan kawasan Empayar Uthmaniyyah semasa zaman perluasaan kuasanya, pemimpin memilih untuk menyebarkan melalui laluan air yakni laut. Selim I menawan Parsi sebelum tewas kepada tentera Parsi tidak lama kemudian.

Parsi kemudian menewaskan tentera Uthmaniyyah dan menawan sebahagian kawasan milik Uthmaniyyah di timur empayar itu. Mereka juga berjaya menawan Baghdad.

Empayar Uthmaniyyah menubuhkan tentera laut di Laut Merah bagi mengatasi pengaruh Portugis dalam perdagangan rempah. Semasa zaman ini, Empayar Uthmaniyyah bersaing dengan kuasa-kuasa Eropah di Lautan Hindi.

Empayar Uthmaniyyah juga menghantar tentera lautnya bersama-sama dengan kelengkapan perang dan askar ke Kenya dan Aceh bagi membantu pemerintah-pemerintah Muslim di sana, di samping mempertahankan perdagangan rempah dan hamba.

Di Aceh, Empayar Uthmaniyyah membina kubu dan mempertahankannya menggunakan meriam, selain itu Sultan Aceh,Sultan Alauddin Riayat Shah Al Qahar telah memimpin sebuah armada perang dibantu oleh tentera turki Uthmaniyyah dengan meriam-meriam besar dari Istanbul menggempur Portugis di Melaka.

Empayar Turki Uthmaniyyah juga merupakan kuasa yang bertanggungjawab dalam membantu perjuangan pihak Protestan Belanda bagi menghadapai konflik mereka dengan golongan Katolik Sepanyol.

Tentera laut Uthmaniyyah juga mempunyai banyak pengaruh di Laut Mediterranean menjadikan perdagangan di sana berkembang dengan pesat disebabkan kestabilan perdagangan di situ. Zaman ini kemudiannya dikenali sebagai zaman "Pax Ottomanica" oleh orang Barat.

Serangan ke atas Vienna bukanlah satu siri pengembangan kuasa Empayar Uthmaniyyah terhadap Jerman. Sebenarnya pihak Turki Uthmaniyyah hanyalah ingin bertindak terhadap campur tangan Hapsburg Sepanyol ke atas Hungary.

Hal ini juga menyebabkan sesetengah sekutu Uthmaniyyah membelot terhadap Empayar Uthmaniyyah. Paus di Itali kemudiannya meninggalkan kepentingan sekularnya bagi membangkitkan semangat anti-Islam di samping ingin melancarkan Perang Salib yang baru. Dalam masa yang akan datang, Empayar Uthmaniyyah bukan sahaja sebuah kuasa penakluk tetapi juga sebuah instrumen politik Eropah. Perang di Vienna membawa kepada zaman kemerosotan terhadap Empayar Utmaniyyah.


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 03:21 PM GMT+8 , Processed in 0.036764 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top