CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Kenderaan Lihat artikel

Hypercar Koenigsegg Dari Sweden

2-7-2014 11:00 AM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 5827| Komen: 3




URA-ura ketibaan model hypercar Koenigsegg dari Sweden ke pasaran negara sudah lama dikhabarkan sekitar September 2013. Apabila Naza Swedish Motors iaitu anak syarikat Kumpulan Naza rasmi menandatangani perjanjian francais bersama Koenigsegg Automotive AB.

Hampir setahun perbincangan, pengedar model hypercar terpantas dan paling ringan di dunia itu meluncurkan model pertama di Malaysia menerusi Koenigsegg Agera S. Naza Swedish Motors juga diberikan hak mengedarkan Koenigsegg di pasaran Indonesia.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bersama Syarikat Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, Koenigsegg bakal menjengah pasaran Indonesia sekitar penghujung tahun ini. Bahkan Naza Swedish juga turut merancang menembusi pasaran Indo China.

Sebelum saya mengulas lanjut tentang model pertama Koenigsegg di Malaysia, saya rencanakan seputar lalu tentang jenama Sweden tersebut. Koenigsegg dibangunkan pada 1994 oleh Christian von Koenigsegg yang bertujuan menghasilkan jentera supercar bertaraf dunia.





Pada 2006 Koenigsegg memulakan pengeluaran CCX menggunakan enjin yang dibangunkan khusus untuk jentera itu dan sah digunakan di jalan raya di kebanyakan negara.

Bukan itu sahaja, syarikat yang berpangkalan di Angelholm, Sweden ini juga merupakan pemegang Guinness World Records bagi kereta produksi terpantas yang mampu memecut dari sifar hingga 300 kilometer sejam (km/j) dan berpatah semula dalam tempoh 21.19 saat.

Malah Koenigsegg juga mencipta empat rekod Guinness World Records dalam tempoh 10 tahun.

Dan sejak dibangunkan 20 tahun lalu, syarikat itu mengeluarkan 102 unit jentera yang berasaskan kepada permintaan. Model Agera S yang dipertontonkan ketika pelancaran merupakan model keluaran yang ke 104.

Pelancaran model Agera S ke pasaran Malaysia itu dijana enjin 5.0 liter bi turbo V8 yang menghamburkan kuasa liar 1030hp pada 7100rpm dan tork setinggi 1100Nm pada 4100rpm.

Malah difahamkan Agera S mampu mencapai tork 1000Nm seawal putaran enjin 2700rpm.

Penghantaran kuasa ke roda belakang dibantu transmisi dua klac tujuh kelajuan bersama paddleshift.

Jentera hypercar berkenaan berupaya memecut dari sifar hingga 300km/j dan berpatah semula dalam tempoh 22.7 saat.

Bagi memastikan kuasa membrek dengan sempurna, Agera S dipadankan dengan enam piston brek seramik dengan saiz 392x40 milimeter pada bahagian hadapan dan empat piston kaliper disk bersaiz 380x34mm pada bahagian belakang bersama sistem ABS yang lebih ringan.

Selain itu, Agera S mampu mencapai kelajuan 100 km/j dalam tempoh 2.9 saat dengan pecutan maksimum melebihi 400km/j. Keupayaan berkenaan tentunya hasil sumbangan daripada pembangunan berat badan yang lebih ringan.

Bahagian pakej enjin termasuk klac, roda, sistem takung kering dan sistem manifold Inconel (termasuk dua pengecas turbo) dihasilkan dengan berat 197 kilogram (kg) sementara berat transmisi hanya 81kg. Keseluruhan berat Agera S ialah 1415kg. Cukup impresif.

Sumbangan berat badan yang lebih ringan itu juga membolehkan pulangan kecekapan bahan api yang menjimatkan dengan 14.7 liter bagi setiap 100km yang mana dengan tangki penuh 80 liter mampu pergi sejauh 500km.

Untuk informasi model ini dikategorikan sebagai hypercar kerana ia berada di atas par berbanding jentera supercar seperti Ferrari dan Lamborghini. Setakat ini.

Naza Swedish hanya membawa masuk Agera S. Ketika disoal mengapa model Agera R tidak dipasarkan ke Malaysia, SM Faisal menyatakan model tersebut menggunakan campuran bahan api E85 yang tidak sesuai dengan bahan bakar tempatan.

Dirasmikan di pusat 3S (jualan, alat ganti dan servis) Koenigsegg di Naza World Petaling Jaya, Agera S dijual pada harga asas RM5 juta dengan waranti tiga tahun.

SPESIFIKASI
  • Enjin: 5.8 liter bi turbo V8
  • Kuasa maksimum: 1030 hp @ 7100 rpm
  • Tork maksimum: 1100 Nm @ 4100 rpm
  • Transmisi: 7-kelajuan dual klac
  • Pecutan: 0-100 km/j (2.9s), 0-200 km/j (7.9s), 0-200-0 km/j (12.8s), 0-300-0 km/j (22.7s)
  • Braking distance: 30.5m (100-0 km/h)
  • Agihan berat: 44% depan, 56% belakang
  • Berat kering: 1330kg



Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati

Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote berun 25-6-2014 04:50 PM
Quote ashraf5587 21-7-2014 11:56 AM
rm5juta?nak beli umah harge 500k pon tercungap.ni mainan orang kaya je.
Quote mattzzx 22-7-2014 11:48 AM
Hajat di hati memang nak beli sangat tapi apa kan daya...

Lihat semua komen(3)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-12-2024 09:07 AM GMT+8 , Processed in 0.095016 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top