LEDANG – Seorang warga emas antara dua ditahan memiliki senapang angin dalam tangkapan berasingan di Tangkak dan Sungai Mati, 27 Mei lalu. Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata, lelaki berusia 71 tahun itu ditahan jam 12.30 malam bersama selaras senapang dengan 235 peluru di Bukit Kangkar, Sungai Mati. “Seorang lagi lelaki berusia 53 tahun ditahan di Jalan Sialang, Tangkak pada hari yang sama dan merampas merampas satu laras senapang angin dengan 30 biji bebola besi yang dijadikan peluru. “Mereka mendakwa menggunakan senjata yang diperoleh dari Johor untuk menjaga kebun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, semalam. Beliau berkata, warga emas terbabit mengakui sudah dua tahun memiliki senjata itu, sementara rakanya baru membeli senapang tersebut berharga RM500. Dalam perkembangan lain, Mohd Salleh berkata, terdapat tiga kes pecah tabung rumah ibadat dilapor berlaku di daerah ini setakat Julai tahun ini. Mohd Salleh memeriksa dua laras senapang angin yang dirampas di Tangkak dan Sungai Mati, baru-baru ini. Katanya, ia membabitkan surau di Gersik, tokong di Sagil dan kejadian terbaharu berlaku di surau Kampung Parit Tepi, Kundang Ulu, Grisek, dekat sini, Mei lalu. “Berikutan kejadian itu, kita berjaya menahan suspek lelaki berusia 27 tahun yang sedang leka memecahkan tabung di surau berkenaan. “Suspek memecahkan tabung itu dengan mengumpilnya menggunakan objek tajam dan dikenal pasti mengulangi perbuatan sama di surau tersebut,” katanya. Katanya, suspek didapati positif dadah jenis morfin dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
|
ADVERTISEMENT