Afiq Muiz Akui Tidak Matang Ketika Bercinta PETALING JAYA: Pelakon Afiq Muiz mengaku dia tidak matang dan bersikap seperti kebudak-budakkan ketika berkawan dengan pelakon Eina Azman sehingga menyebabkan hubungan tersebut tidak berpanjangan.
Afiq, 21, berkata, pengalaman itu menjadi satu pengajaran buatnya untuk melalui hubungan percintaan pada masa hadapan.
"Saya tidak tahu dia tujukan kenyataan itu kepada siapa kerana bukan saya seorang sahaja lelaki muda yang berkawan dengan dia sebelum ini.
"Namun kalau kepada saya sekalipun, saya akui ketika kami berkawan masing-masing masih terlalu muda dan belum matang lagi, selalu bergaduh dengan perkara-perkara kecil.
"Saya harap dia jadikan perkara itu sebagai pengajaran untuk membina hubungan pada masa akan datang," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Eina Azman bakal berkahwin dengan pilihan hatinya penghujung tahun ini.
Afiq berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu kenyataan yang dibuat Eina kepada Media Hiburan Online iaitu perhubungan dengan orang muda banyak bezanya apabila indivbidu itu gemar berangan-anngan.
Eina dalam laporan tersebut mendedahkan dia bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang pemuda bukan Melayu iaitu Datuk Paduka Gurmet Singh, 35, pada hujung tahun ini.
Dalam pada itu Afiq berkata, dia turut mendoakan bekas kekasihnya itu bahagia dengan pilihan hatinya itu. "Saya berasa gembira dengan keputusan dia untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, semoga dia bahagia dengan pilihannya itu," ujar Afiq.
Afiq juga sudah lama tidak berhubung dengan pelakon wanita itu berikutan sibuk dengan kerjaya dan keluarga.
Dalam pada itu, Afiq berkata, buat masa ini dia tidak mahu memikirkan soal teman wanita, sebaliknya mahu fokus kepada kerjaya dan keluarga terlebih dahulu.
"Saya masih muda dan belum matang lagi, banyak perkara yang saya sukar untuk berfikir dengan baik.
"Sebab itulah saya malas untuk ada komitmen terutama bila tentang hubungan cinta. Biar sampai saya betul-betul rasa sudah matang dan bersedia untuk berumah tangga baru saya fikir tentang itu," katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|