MH17: Matthew Ezekial akan disatukan bersama ibu bapa dan kembarnya
KUALA LUMPUR: Tarikh 10 Okt 2004, merupakan hari paling bahagia bagi pasangan suami isteri Paul Rajasingam Sivagnanam dan Mabel Anthonysamy @ Soosai, apabila dikurniakan sepasang kembar, Matthew Ezekial dan Nathan Paul. Bagaimanapun, keluarga itu dirundung malang, apabila Nathan, hanya dapat bertahan selama 13 hari. Sejak kejadian itu, dipercayai, Mabel tidak pernah berenggang dengan anaknya Matthew. Bagaimanapun, turutan tragedi sedih menimpa keluarga ini. Pada 17 Julai lepas, Eksekutif Teknologi Maklumat Shell Paul Rajasingam, 52; Mabel, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan Matthew, 10, terkorban selepas pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur. Jenazah pasangan itu, antara kumpulan pertama mangsa MH17 yang tiba pada 26 Ogos lepas.
Selepas menanti selama 78 hari, waris keluarga itu berasa lega dengan kepulangan jenazah Matthew hari ini, yang merupakan seorang daripada 43 warga Malaysia yang menaiki pesawat itu. Pak Cik Matthew, Clement Anthonysamy @ Soosai berkata, abu Matthew akan diletakkan di dalam kubur yang sama yang menempatkan abu Nathan serta abu ibu dan bapanya di Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Kuari, Cheras. Kedua-dua ibu, Paul Rajasingam dan Mabel menangis sebaik melihat keranda Matthew yang dibalut Jalur Gemilang itu tiba dan ditempatkan di ruang tamu kediaman rumah ibu Paul Rajasingam pada 10.02 pagi tadi bagi membolehkan saudara dan sahabat handai memberi penghormatan terakhir. "Ia merupakan cabaran terbesar bagi kami (anggota keluarga) tetapi kami gembira kerana mereka disatukan semula. "Kami bercadang untuk membawa Matthew ke rumah ibu saya malam ini di Bandar Tun Razak, sebelum disemadikan di Jalan Kuari pagi esok," kata Clement kepada pemberita apabila ditemui di luar rumah ibu mendiang Paul Rajasingam di Bangsar hari ini. Clement juga mengucapkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana jenazah diberi penghormatan penuh adat ketenteraan dan sokongan berterusan. "Saya bertemu Hishammuddin pagi ini, dan beliau memberi jaminan (kepada kami) bahawa sebaik perkara ini selesai, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan keadilan. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada beliau atas jaminan itu," katanya. Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine. Sebanyak 44 warga Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, berada dalam pesawat Boeing 777-200 itu. Penumpang lain terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. Forum : http://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=832822
|
12
Bagus |
20
Marah |
3
Terkejut |
5
Sedih |
13
Lawak |
7
Bosan |
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
ADVERTISEMENT