Janda Dan Awang Hitam Bersatu Padu
Gambar hiasan
Kuala Lumpur: Seorang wanita tempatan berusia 40-an dikesan mempelajari taktik penipuan ‘cinta Afrika’ melalui Internet sebelum memperdaya ramai wanita tempatan membabitkan kerugian beratus ribu ringgit.
Suspek berstatus janda itu dikesan turut bekerjasama dengan 11 lelaki warga Nigeria, seorang wanita Nigeria, seorang wanita Uganda dan seorang wanita Filipina bagi membantunya melakukan penipuan terancang itu.
Difahamkan suspek memilik kepakaran dan kemahiran dalam memilih sasaran mangsa selain menyamar sebagai lelaki Eropah untuk menipu mangsa.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, wanita tempatan itu ditahan polis pada Rabu lalu selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang kakitangan kerajaan yang mendakwa ditipu sebanyak RM107,350.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek masih menjalani perbicaraan mahkamah terhadap kes penipuan lain namun masih aktif mencari mangsa baru.
“Mangsa yang berusia 40 tahun itu mendakwa terpedaya dengan taktik suspek yang menyamar sebagai lelaki bernama Azim berasal dari Eropah.
“Lelaki itu berjanji mahu berkahwin dengan mangsa selepas menjalin hubungan cinta jarak jauh sejak Januari tahun ini,” katanya.
Dia berkata, mangsa diminta membayar wang berjumlah RM107,350 ke lapan akaun bank berbeza selepas ‘kekasihnya’ mendakwa menghantar bungkusan mengandungi wang tunai dolar Amerika Syarikat 1 juta ( RM 3.3 juta).
“Mangsa diminta membuat pembayaran bagi melepaskan bungkusan wang itu yang didakwa ditahan Jabatan Imigresen di Kota Kinabalu.
“Selepas membayar wang berkenaan, mangsa diminta membuat penambahan bayaran lagi menyebabkan dia mengesyaki ditipu,” katanya.
Susulan laporan diterima itu, polis bertindak melakukan siasatan sebelum berjaya menahan suspek di pekarangan Mahkamah Majistret Ampang pada Rabu lalu ketika suspek menghadiri perbicaraan kes tipu lain.
Menurutnya, hasil tangkapan wanita tempatan itu, beberapa siri serbuan dilakukan di sekitar kawasan ibu kota, Kajang dan Puchong sebelum 14 suspek lain berusia 20 hingga 30 tahun berjaya diberkas.
Chong berkata, hanya lima daripada 14 suspek ditahan mempunyai pasport sah manakala yang lain gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.
“Hasil serbuan itu, tujuh keping kad pengeluaran wang automatik (ATM), 26 telefon bimbit dan sembilan komputer riba dirampas daripada suspek yang dipercayai digunakan untuk tujuan penipuan.
“Selain menjadi perantara kepada anggota sindiket, wanita tempatan itu juga bertanggungjawab mengumpul akaun bank yang akan digunakan bagi tujuan pemindahan wang dari mangsa,” katanya.
Menurutnya, wang itu kemudian akan dipindahkan ke akaun di luar negara.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan seorang lagi lelaki warga Nigeria yang juga dalang utama sindiket berkenaan,” katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|