Saudi Hantar Senjata Berat Ke Sempadan WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Kerajaan Arab Saudi dilaporkan telah menghantar kelengkapan senjata berat ke kawasan bersempadan dengan Yaman, menurut pegawai Amerika Syarikat (AS), semalam. Langkah itu dibuat selepas menerima arahan daripada Menteri Pertahanan, Putera Mohammed Salman al Saud yang turut mengarahkan pangkalan tentera diwujudkan di sepanjang sempadan. Sumber tersebut turut mendedahkan Saudi tidak akan teragak-agak untuk melancarkan serangan udara jika kumpulan pemberontak Houthi mengancam keselamatan Presiden Yaman, Abd Rabbuh Mansur Hadi yang sebelum ini mendapatkan perlindungan di bandar pelabuhan Aden. Dalam perkembangan lain, pemberontak Houthi didakwa memasuki Aden selepas kumpulan tersebut menawan pangkalan tentera udara al-Anad terletak kira-kira 50 kilometer di utara bandar selatan terbabit. Susulan daripada itu, Abd Rabbuh telah dibawa ke sebuah lokasi rahsia dengan menaiki helikopter. Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Mahmoud al-Subaihi telah ditahan oleh pemberontak Houthi dan dihantar pulang ke Sanaa. - Press TV
|
ADVERTISEMENT