Walaupun hanya menurunkan pasukan projek 2016, reputasi Malaysia sebagai pasukan pilihan di temasya Sukan SEA, Singapura masih kekal bawah kendalian Arul Selvaraj. Kecuali kemenangan perak pada 1973, Malaysia sentiasa berjaya bawa pulang pingat emas sejak hoki dipertandingkan di Sukan SEA. Namun, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan supaya menurunkan pemain remaja untuk bertembung dengan pasukan senior antarabangsa dalam saingan yang akan berlangsung di Stadium Hoki Sengkang. Arul mengakui bahawa keputusan ini berani tetapi percaya dengan kehadiran pemain berbisa seperti pukulan sudut penalti, Muhammad Amirul Aideed Mohd Arshad dan penyerang Mohd Sufi Ismat, emas dan nama negara mampu dipertahankan. "Pasukan malaysia tidak pernah beraksi dengan pasukan remaja, jadi saya hanya mengharapkan pemain yang berumur 19 atau 20 tahun ini pergi untuk mempamerkan baka, tidak kira menang 1-0 atau 10-0, emas tetap emas", kata jurulatih itu. Manakala pertahanan skuad projek 2016, Najib Abu Hassan juga yakin dengan persediaannya bersama rakan sepasukan bahawa mereka mampu mendapat kemenangan. "Kami tidak ada masalah untuk membawa pulang pingat emas kerana kami telah membuat persediaan rapi untuk pertandingan ini, Sukan SEA adalah untuk kami mencari pengalaman dan menang pingat emas untuk Malaysia." ujarnya.
|
ADVERTISEMENT