Mumbai: Anak sulung 'superstar' filem Bollywood terkenal, Datuk Shah Rukh Khan iaitu Aryan Khan, 23, berjanji mahu berbakti kepada masyarakat dan akan mendedikasikan hidupnya membantu golongan miskin di India.
Hal itu dikongsikan Biro Kawalan Narkotik (NCB) yang bertindak memberi kaunseling kepadanya selepas dia dipenjara sejak awal bulan ini akibat terbabit kes dadah. "Sewaktu kaunseling, dia (Aryan) berkata mahu berbakti kepada masyarakat sekarang dan siap setia untuk berkhidmat kepada negara serta golongan kurang bernasib baik," jelas pegawai NCB yang enggan identitinya didedahkan.
Pada sesi berkenaan, Aryan diberi kaunseling bersama tujuh banduan lain yang diberkas dengannya dalam kes sama. Kaunseling untuk tahanan kes dadah adalah sesi umum yang selalu dilakukan NCB. Mereka yang pertama kali ditahan atau menunjukkan simptom ketagihan akan diberi kaunseling sebaik selesai disoal siasat. Biasanya organisasi terbabit turut mendapat bantuan daripada pemimpin komuniti, ilmuan agama, atau golongan kehormat bagi kaunseling. Ia dipraktikkan bagi meningkatkan motivasi serta menggalakkan individu ketagih dadah berusaha keluar dari masalah itu. Aryan kini dipenjara di Arthur Road selepas terbabit kes penggunaan dadah terlarang yang ditemui di sebuah kapal layar pada awal bulan ini. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT