Kuala Lumpur: Pempengaruh popular Israel, Hananya Naftali memetik nama Malaysia dan Indonesia dalam satu kandungan video terbarunya, Selasa lalu. Naftali menyampaikan pesanan kepada rakyat Malaysia dan Indonesia supaya tidak mempercayai laporan media masing-masing mengenai konflik perang yang berlaku di Palestin ketika ini.
Lebih melucukan, Naftali 'play victim' dengan memutar belitkan fakta untuk menampakkan Israel tidak bersalah meragut lebih 18,000 nyawa rakyat Gaza sebaliknya mencipta naratif buruk terhadap pejuang Hamas. "Saya rakyat Israel ada pesanan kepada kamu di Indonesia dan Malaysia. "Media kamu berbohong kepada kamu dengan menunjukkan imej menyayat hati rakyat Palestin menderita tapi mengabaikan pihak Israel," kata lelaki itu menerusi Instagram rasminya. Naftali mendakwa, bukan Israel yang memulakan perang berkenaan sebaliknya dia menyalahkan Hamas kononnya menyerang dan membunuh orang awam.
"Hamas sekarang menggunakan rakyat Palestin sebagai perisai manusia untuk melindungi diri mereka daripada serangan Israel. "Mereka melakukan jenayah perang dan tidak peduli nyawa rakyat Palestin sedangkan Israel lebih ambil berat terhadap Palestin," dakwanya.
Dia turut mempertahankan tindakan rejim Israel menyerang Gaza sebagai membalas serangan Hamas, 7 Oktober lalu. "Jika ini berlaku kepada negara kamu, pasti kamu mahu tentera mempertahankan dan membalas balik. "Maka berhentilah jadi hipokrit," katanya mengakhiri rakaman video itu yang meraih lebih 31,600 komen. Meninjau ke ruangan komen, sebilangan kecil netizen masih buta hati dan sejarah dengan terang-terangan menyokong 'perjuangan' Israel manakala kebanyakannya menghentam Naftali kembali. Naftali sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila video temubual dalam aplikasi X bersama seorang individu mendakwa dari Johor Bahru, Johor membuat kenyataan salah mengenai hubungan Malaysia-Israel apabila berpandangan perlunya ada normalisasi hubungan antara dua negara. Lelaki dikenali sebagai Victor Yong Jen Ong itu turut menyalahkan kumpulan pejuang Fatah dan Hamas sehingga rakyat Malaysia berpandangan serong terhadap Israel. Susulan itu, polis menahan lelaki berumur 36 tahun bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang disyaki menyokong Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Israel. Berdasarkan The Jerusalem Post, Naftali juga ialah aktivis dalam memerangi antisemitisme, antizionisme dan gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS) produk Israel. Naftali juga memainkan peranan dalam pasukan digital Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sejak tiga tahun lalu. Dia dilaporkan berkhidmat dalam Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan pernah memerangi Hamas semasa Operasi Protective Edge pada Julai 2014. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|