Kira-kira empat bulan menanti penuh debar, pelakon Dynas Mokhtar lega apabila berjaya mendapatkan semula hampir semua wang RM60,000 yang lesap dari akaun simpanan peribadinya pada Januari lalu. Kata Dynas atau nama lengkapnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 41, hasil siasatan mendapati pelbagai transaksi luar negara dilakukan menggunakan kad debit miliknya. “Duit yang hilang hampir RM60,000 dan saya bersyukur dapat semula secara berperingkat. “Kad debit saya itu dimasukkan dalam telefon pihak terbabit untuk membeli-belah kerana ada transaksi mata wang asing dari pelbagai negara seperti Arab Saudi, Jepun, Amerika Syarikat, Korea Selatan, China dan Brazil. “Antaranya transaksi pembelian telefon pintar iPhone, pergi salun rambut dan beli makanan secara dalam talian. Disebabkan itu pihak bank dapat mengesan semula kehilangan wang,” katanya kepada Kosmo! Online di majlis Clepets Care Raya, semalam.
Model dan pengacara itu kini sedang berusaha mendapatkan saki baki dua hingga tiga peratus wangnya yang hilang itu dengan pihak bank. “Saya anggap kes belum selesai lagi kerana masih ada dua hingga tiga peratus baki yang belum dapat. “Jadi, saya akan cuba dapatkan semula kerana masalah itu bukan berpunca daripada saya dan bank perlu bertanggungjawab. “Mereka kata sebab utama tidak dapat balik daripada peniaga sendiri. Lagipun berurusan dengan transaksi antarabangsa,” ujarnya lagi. Enggan orang ramai menjadi mangsa sepertinya, Dynas menitipkan nasihat tidak menyimpan wang dalam satu akaun sahaja. “Nasihat saya kepada semua, jangan masukkan duit gaji dalam satu akaun. Jadi, kalian tak akan berputih mata kalau berlaku kes sebegini. “Memang susah untuk elak tetapi perlu berhati-hati. “Selain itu, simpan kad bank dan kad pengenalan dalam dompet besi supaya ‘scammer’ tidak dapat imbas semua maklumat privasi,” kongsinya lagi. Sebelum ini, Dynas mendedahkan wang simpanannya dalam bank lesap secara tiba-tiba dan berlaku pengeluaran menggunakan mata wang asing tanpa pengetahuannya. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT