ALOR SETAR – Kes kencing tikus atau leptospirosis di Kedah meningkat sebanyak 18 peratus bagi tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas dengan satu kematian.
Menurut Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Ismuni Bohari, negeri ini mencatatkan jumlah kumulatif 105 kes daftar melalui ujian serologi positif jangkitan penyakit tersebut dalam tempoh 1 Januari hingga 8 Jun lepas. “Ia adalah peningkatan kes daftar sebanyak 18 peratus berbanding Minggu Epidemiologi yang sama pada 2023 (89 kes daftar). “Daripada jumlah 105 kes daftar, 32 kes disahkan dengan ujian Microscopic Agglutination Test (MAT) manakala 16 kes masih menunggu keputusan makmal (MAT),” katanya di sini hari ini. Mengulas tentang jangkitan kes leptospirosis dalam kalangan pengunjung Taman Eko Rimba Lata Bayu baru-baru ini, tambah beliau, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling menjalankan siasatan dan penilaian risiko di pusat rekreasi tersebut. “Sampel air dan tanah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam (MKA) Ipoh. Sebagai langkah kawalan, Taman Eko Rimba Lata Bayu ditutup oleh Jabatan Perhutanan Kedah bermula 17 Jun sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. “Nasihat kesihatan juga diberikan kepada semua pengunjung Taman Eko Rimba Lata Bayu. “Leptospirosis merupakan sejenis penyakit zoonotik (penyakit yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia) yang disebabkan oleh bakteria Leptospira. Manusia boleh dijangkiti melalui luka pada kulit atau membran mukus yang terdedah kepada bahan tercemar termasuk air, tanah, dan makanan ataupun jika tertelan bahan-bahan tercemar tersebut,” katanya. Jelasnya, berkaitan dua pengunjung pusat rekreasi berkenaan yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) akibat terkena jangkitan kencing tikus sebelum ini disahkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital. Tambahnya, gejala jangkitan ialah demam, menggigil, sakit badan atau otot, sakit kepala, batuk tidak berkahak, loya, muntah, dan cirit-birit. “Jabatan ini akan terus memantau perkembangan terkini kejadian leptospirosis ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan. “Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan semasa mengunjungi pusat rekreasi dan jika bergejala setelah mengunjungi pusat rekreasi, perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya. Sumber – KOSMO! ONLINE.
|
ADVERTISEMENT