SEOUL: Korea Selatan bakal mewujudkan Kementerian Strategi Populasi bagi menangani isu mendesak seperti kadar kelahiran yang rendah dan penduduk menua sehingga menjadi antara cabaran terbesar dihadapi negara ini. Kerajaan mengumumkan rancangan berkenaan, hari ini, selepas berlangsungnya mesyuarat peringkat tinggi dengan parti pemerintah. Ia sekali gus memaklumkan bahawa akta organisasi kerajaan yang telah disemak semula, akan diusulkan pada Julai ini untuk pelancaran kementerian baharu itu, lapor Agensi Berita Yonhap. Kementerian itu akan memfokus strategi dan perancangan untuk menangani isu-isu demografi, termasuk kadar kelahiran yang rendah, populasi menua, tenaga kerja serta imigresen. Ia juga akan bertanggungjawab menggubal dasar-dasar berkaitan populasi, selain strategi jangka sederhana hingga panjang, sekali gus mengambil alih tugas terbabit yang ketika ini diuruskan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.
Menurut pegawai, kementerian baharu itu akan turut memantau peruntukan dan penyelarasan bajet bagi menangani isu kadar kelahiran yang rendah, merentasi pelbagai kementerian. Malah, peneraju kementerian baharu itu kelak pada masa sama juga akan memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk hal ehwal sosial, iaitu peranan yang digalas Menteri Pendidikan ketika ini. Sebaik saja dilancarkan, kementerian baharu itu akan merancang untuk memperhebat kempen dan promosi bagi menangani cabaran demografi, serta menjalankan penyelidikan dan analisis terhadap data demografi. – BERNAMA-YONHAP |
ADVERTISEMENT