KLANG – Tiada halangan kepada mana-mana syarikat termasuk pengeluar minuman keras untuk menganjurkan program mengumpul dana untuk tujuan membiayai pembangunan di sekolah vernakular. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagaimanapun syarikat terbabit tidak dibenarkan mempamerkan sebarang logo mahupun jenama berkaitan perniagaan mereka. “Kalau berada di premis sekolah, jenama atau logo ini tak boleh dipaparkan tetapi program boleh buat. Tetapi kalau dekat luar, dia tiada halangan dan kebanyakan program ini berlaku di luar bukan di sekolah, restoran dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini,hari ini. Terdahulu beliau membuat lawatan kerja ke tapak projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Stesen Pasar Jawa di sini. Sebelum ini, gambar majlis penyerahan sumbangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tche Min, Sepang yang menunjukkan replika cek derma berjumlah RM3 juta tertera logo syarikat bir jenama Tiger menjadi kontroversi dan mencetuskan polemik.
Kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah itu yang didirikan sejak 30 tahun lalu didapati turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak. Anthony juga melahirkan rasa kesal kerana ada pihak yang cuba menimbulkan polemik perkara itu sedangkan ia telah dipraktikkan selama ini tanpa menimbulkan sebarang masalah. “Hanya ada pihak-pihak yang cuba mempolitikkan dan cuba mengungkitkan perkara ini dan dijadikan sebagai satu polemik. Jadi selepas ini kita jelas dengan keputusan Kabinet telahpun dibuat iaitu ada beberapa garis panduan. “Ia termasuklah program itu tidak melibatkan pelajar-pelajar Islam,” katanya. Menurutnya, lazimnya, program bagi mengumpul dana sekolah itu tidak melibatkan pelajar sekolah sebaliknya ia hanya dihadiri ibu bapa sahaja. “Yang melibatkan ini (program kumpul dana) kebanyakan yang pergi melibatkan ibu bapa, bukannya anak-anak murid. “Yang pergi hadir ini tujuannya untuk kita menyokong untuk dana dan sebagainya dan telah dipraktikkan selama ini, tak menjadi isu pun,” katanya lagi. Sumber : MalaysiaGazette Lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My Telegram Channel : https://t.me/+KyXuOvLcTgkxZWE1 Whatsapp Channel : https://whatsapp.com/channel/0029Vacxp9d9MF91QzmmW60X Threads : https://www.threads.net/@caridotmy |
ADVERTISEMENT