BANGKOK – Tentera Diraja Thai (RTA) menyatakan bahawa insiden melibatkan pegawai kanannya yang didakwa mengarahkan lebih 10 prebet untuk berdiri sambil telanjang dalam hujan selama lebih lima jam dan memukul mereka sedang disiasat, lapor saluran berita Bangkok Post hari ini. Timbalan jurucakap RTA Kolonel Richa Suksuwanon berkata, tindakan sedemikian adalah salah, sambil menambah, Panglima Tentera Darat, Jeneral Charoenchai Hinthao sentiasa menekankan supaya tindakan tatatertib dilaksanakan berdasarkan peraturan tentera. Beliau secara konsisten mengutuk hukuman tidak wajar dan melampaui batas. Insiden yang berlaku dalam Batalion Berkuda ke-25, Rejimen Berkuda Ke-4, Pengawal Diraja di Chiang Mai pada Khamis lalu itu disiarkan di laman Facebook, Survive oleh adik perempuan salah seorang prebet yang didakwa telah dianiaya. Menurutnya, semua prebet itu diarah berbogel dalam hujan selama kira-kira enam jam, di mana mereka turut dipukul, ditendang dan dipijak. Richa berkata, dua jawatankuasa berasingan telah dibentuk untuk menyiasat kejadian itu bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa berat sebelah. Beliau juga membayangkan bahawa beberapa pegawai tentera mungkin melanggar dasar RTA dan arahan Menteri Pertahanan Sutin Klungsang mengenai langkah-langkah tatatertib, sambil menegaskan, pegawai terbabit mesti dihukum jika didapati bersalah. Dakwaan bahawa pegawai itu mabuk juga sedang disiasat, katanya. Richa tidak menjawab soalan sama ada pegawai itu boleh didakwa kerana melakukan jenayah tetapi hanya berkata, jawatankuasa yang dibentuk sedang menangani perkara itu. Sementara itu, dilaporkan bahawa Sutin akan membincangkan supaya langkah-langkah disiplin ketenteraan diselaraskan dengan standard global. – AGENSI Sumber – KOSMO! ONLINE. |
ADVERTISEMENT