“Alhamdulillah, genap hari ini anakanda ku Nur Fatima Aisya mencapai umur empat tahun. Fatima, saya telah berdoa untuk kamu sebelum kamu lahir dan saya akan terus mendoakan kamu sepanjang hidup saya.
“Kamu anak yang baik. Bukan sahaja kamu ada hati yang besar, kamu juga sangat kuat, tabah, teguh dengan apa yang kamu mahukan. Kamu penyayang dan berempati dengan semua orang yang kamu jumpa, terutamanya saya, ibu kamu,” katanya pada ruangan kapsyen.
Dalam pada itu, Fazura juga memohon maaf kerana dia tidak dapat menganjurkan sambutan ulang tahun kelahiran Fatima yang keempat secara besar-besaran pada tahun ini.
“Walaupun tahun ini saya tak dapat anjurkan sambutan hari jadi besar-besaran seperti sebelum ini, jangan risau. Saya sayangkan kamu lebih dari apa yang saya boleh katakan.
“Bersyukur sentiasa wahai anakku, sayang di dalam apa saja keadaan dan selalulah berterima kasih kepada Allah SWT dan hargai semua orang yang menyayangimu,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Fazura berjanji dengan Fatima bahawa dia akan sentiasa bersama anak tunggalnya itu tidak kira susah atau senang atas izin tuhan.
“Saya akan sentiasa ada di sisi Fatima di saat susah dan senang dengan izin Allah SWT. Saya rasa sangat bertuah kerana ada kamu di dalam hidup saya.
“Malam-malam tanpa tidur untuk jaga kamu ketika kamu masih hidup sangat berbaloi dan jika saya diberi peluang untuk melakukannya semula, saya akan lakukannya tanpa ragu-ragu,” tulisnya.
Sementara itu, Fazura juga mendoakan agar Fatima sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT dari manusia yang mempunyai niat jahat terhadap orang lain.
“Saya sayangkan awak, sentiasa dan selalu. Semoga Fatima terus membesar dengan sebaik-baiknya, dilindungi Allah SWT dari manusia berhawa nafsu syaitan, menjadi anak yang solehah, sentiasa menyayangi diri sendiri dan berbuat baik pada semua orang, berjaya dunia akhirat. Mudah-mudahan, amin,” doanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya juga mengucapkan selamat hari lahir kepada Fatima, termasuk rakan selebriti.
Terdahulu, aktor Fattah Amin enggan untuk menceraikan isterinya ketika sebutan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, bagaimanapun, mahkamah menetapkan 7 Oktober depan untuk perbicaraan yang selanjutnya.
Sekadar info, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Sumber - OhMyMedia