Kajang: Semua pihak digesa supaya berfikiran terbuka dan tidak jumud ketika berbicara berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Tahanan di Rumah. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata demikian bagi menjelaskan polemik yang timbul susulan ada pihak yang mendakwa tindakan itu diambil semata-mata bagi membebaskan 'seseorang' dari hukuman penjara. Menurutnya, kapasiti maksimum penjara ketika adalah seramai kira-kira 74,000 orang tahanan namun ketika ini seramai 87,000 banduan menjalani hukuman. "Malangnya isu tahanan rumah ini bila jadi tumpuan orang cuma tengok yang 'seorang' itu sahaja, 'ini kira nak bebaskan orang itu lah ni', apa punya cara fikir jumud betul. "Punyalah teruk cara fikir, dia nampak itu sahaja. Bila kita buat (RUU tahanan di rumah) adalahlah rasional dia, kalau kita laksanakan akan ada perimeter (banduan) yang kita keluarkan (tahanan di rumah)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Town Hall Menteri Dalam Negeri di Auditorium Ibu Pejabat Penjara Malaysia, di sini hari ini. Mengulas lanjut Saifuddin berkata, individu yang dipilih bagi inisiatif tahanan di rumah hanya membabitkan mereka yang melakukan kesalahan kecil dan bukan penjenayah tegar atau kesalahan serius. Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi penjelasan lanjut RUU baharu hukuman tahanan di rumah pada Khamis ini di Dewan Rakyat. Saifuddin berkata, penjelasan itu akan diberikan semasa penggulungan peringkat dasar KDN. "Saya mengikuti sepenuhnya reaksi banyak pihak setelah tajuk tahanan di rumah dimasukkan dalam teks bajet Perdana Menteri. "Ini kerana ia mengundang pelbagai pandangan, maka saya akan menelitinya satu persatu dan memilih untuk melakukannya pada ketika sesi penggulungan peringkat dasar KDN yang dijadualkan pada Khamis," katanya. Katanya, terdapat kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu akan dipertimbangkan untuk program berkenaan namun tidak bermakna kesemua yang memohon itu akan diberikan tahanan rumah secara serentak. "Ada beberapa lagi beberapa kriteria yang perlu dipenuhi seperti tidak pernah melanggar disiplin sepanjang mereka menjalani hukuman dan pelbagai perkara lagi. "Untuk itu, Jabatan Penjara dan kementerian saya sudah siap dengan semua datanya," katanya. SUMBER: – Harian Metro |
ADVERTISEMENT