SHANGHAI: Minat pemodal China melabur di Malaysia menunjukkan peningkatan yang ketara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selepas sehari perbincangan dengan pelabur berpotensi di Shanghai, Perdana Menteri menyifatkan perkembangan itu sebagai positif dalam usaha menarik pelabur dari negara berkenaan. "Hari ini, saya dan barisan menteri menumpukan perhatian pada hal-hal pelaburan. "Perbincangan sama ada secara individu atau berkumpulan, tertumpu kepada dasar kita, persekitaran pengawalseliaan untuk pelaburan dan isu-isu berbangkit. "Saya juga melihat adanya peningkatan minat dan kecenderungan dari China yang dilihat sebagai satu perkembangan sangat positif. "Walaupun agak meletihkan dengan mesyuarat berterusan sejak pagi, saya percaya ia adalah usaha yang berbaloi," tambahnya kepada media Malaysia selepas sesi meja bulat bersama 24 pemimpin industri China di sini, hari ini.
Ditanya mengenai jumlah pelaburan dijangka diperoleh daripada pelabur berpotensi, Anwar berkata, ia akan diumumkan esok. Perdana Menteri memulakan hari ketiga lawatannya di Shanghai dengan sesi dialog yang dianjurkan oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pagi tadi. Sesi berkenaan menghimpunkan dua pelabur China termasuk wakil dari Chengwei Capital, sebuah firma modal teroka terkemuka yang memiliki kepakaran dan sumber unik dalam industri semikonduktor global. Anwar juga bertemu wakil NRL Capital, syarikat sains dan kejuruteraan yang diasaskan oleh kumpulan yang berperanan penting dalam pembangunan kluster industri berteknologi tinggi di seluruh China. Dalam pertemuan terbabit, kerjasama berpotensi dalam pelaburan teknologi dan inovasi di Malaysia turut diterokai bersama pelabur. Beliau turut mengadakan mesyuarat perniagaan tertutup dengan beberapa syarikat China dari sektor perbankan, tenaga dan kimia. Ia termasuk Bank of China, SinoChem, SICC Co, SEMCORP, dan Zhejiang Jiahua Energy Chemical Industry Co. Anwar berlepas ke Beijing petang ini untuk melawat Pusat Taklimat Eksekutif Huawei sebelum mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Xi Jinping esok. Sumber : - Berita Harian |
ADVERTISEMENT