Madrid: Polis Sepanyol, baru-baru ini, menahan seorang daripada pegawai polis tertingginya selepas 20 juta euro (kira-kira RM94.5 juta) ditemukan tersembunyi di dalam dinding rumah individu berkenaan. Tangkapan itu sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas kes kokain terbesar di negara itu. Individu itu adalah Oscar Sanchez Gil iaitu ketua bahagian penipuan dan antipengubahan wang haram pasukan Polis Negara Sepanyol di Madrid. Beliau disifatkan sebagai bijak dan bekerja keras. Pegawai menahannya minggu lalu bersama 15 orang lain dengan turut ditahan 'pasangan romantiknya' yang juga seorang pegawai polis di wilayah Madrid, kata sumber polis yang enggan dikenali kepada AFP. Semasa serbuan, polis menemukan wang tunai 20 juta euro (kira-kira RM4.7 juta) yang disembunyikan di dalam dinding dan siling rumah pasangan itu di Alcala de Henares, sebuah bandar dengan kira-kira 195,000 penduduk yang terletak kira-kira 30 kilometer timur ibu negara Sepanyol.
Pegawai juga menemukan satu juta euro (kira-kira RM4.7 juta) di pejabatnya, disembunyikan dalam dua almari berkunci, dalam wang kertas 50 hingga 500 euro, menurut sumber polis. Pasangan itu didakwa atas tuduhan mengedar dadah, pengubahan wang haram, rasuah dan mempunyai keahlian dalam sebuah organisasi jenayah. Selepas dihadapkan ke mahkamah Madrid, minggu lalu, mereka kini dalam tahanan, kata sumber kehakiman kepada AFP. Media Sepanyol berkata, penahanan itu dikaitkan dengan rampasan 13 tan kokain bulan lalu yang tiba di pelabuhan selatan Algeciras dari bandar terbesar Ecuador, Guayaquil. Dadah itu ditemukan tersembunyi di antara peti berisi pisang. Polis berkata, penangkapan dadah itu yang baru mereka umumkan minggu lepas adalah tangkapan kokain terbesar pernah berlaku di Sepanyol dan "salah satu rampasan terbesar di dunia". SUMBER: – Harian Metro |
ADVERTISEMENT