JAKARTA – Penduduk sebuah kawasan kejiranan di Kota Tangerang Selatan, wilayah Banten gempar apabila bunyi misteri seakan-akan letupan mercun didengari dari bawah tanah rumah mereka, lapor laman berita Tangsel Oke semalam. Bunyi aneh itu dikatakan mula didengari pada Ahad lalu, membuatkan pemilik rumah berasa panik. Pemilik rumah tersebut turut merakam bunyi aneh yang datang dari bawah lantai rumahnya di salah sebuah bilik tidur. Bunyi yang seakan-akan letupan mercun itu berlangsung selama satu jam tanpa henti. Bimbang dengan keadaan itu, pemilik rumah tersebut dengan segera membuat laporan kepada pejabat daerah. Menurut Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Kota Tangerang Selatan, pihaknya sedang menyiasat insiden itu, manakala punca bunyi tersebut belum diketahui. Sementara itu, pemilik rumah berkenaan telah meninggalkan kediaman mereka bagi mengelak daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini. – AGENSI
Sumber : Kosmo |
ADVERTISEMENT