MELAKA: Pemuda UMNO membantah pelaksanaan penyelarasan waktu bekerja bagi sektor awam daripada 42 jam seminggu kepada 45 jam seminggu berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan baru-baru ini. Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pihaknya bimbang keputusan itu akan memberi kesan kepada kakitangan bekerja secara syif termasuk di sektor keselamatan dan kesihatan yang membabitkan ribuan di seluruh negara. Katanya, sebagai petugas barisan hadapan yang menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat, mereka sentiasa berdepan dengan cabaran berat dengan melaksanakan tugas tanpa henti, termasuk lewat malam, hujung minggu dan cuti umum bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin. "Keputusan untuk meningkatkan waktu bekerja ini bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan mereka, malah berisiko menambah tekanan kepada mereka yang ketika ini sedia terdedah kepada risiko 'burn out'.
"Keputusan ini adalah ketidakadilan kepada pekerja syif dan cadangan ini dilihat tidak mengambil kira realiti mereka yang berbeza daripada kumpulan pekerja pada waktu pejabat biasa. "Antaranya, waktu kerja tidak menentu, kehilangan cuti umum dan tekanan fizikal dan mental yang tinggi berdasarkan perkhidmatan diperlukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Sehubungan itu, Akmal memohon kerajaan dan agensi berkaitan untuk meneliti semula keputusan itu dengan mempertimbangkan supaya mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi pekerja yang bekerja secara syif serta memberi pampasan atau cuti gantian kepada pekerja syif yang bertugas pada cuti umum. Selain itu, beliau juga meminta kerajaan mempertimbangkan pengenalan polisi kiraan jam setara bagi menjaga kebajikan penjawat awam yang bekerja secara syif dan polisi terbabit dicadangkan untuk memastikan setiap jam kerja selepas jam 5 petang dikira lebih daripada satu jam sebenar. Katanya, ini mengambil kira waktu bekerja berkenaan berada di luar waktu kerja biasa, yang mana bukanlah waktu ideal untuk manusia bekerja. Menurutnya, melalui pendekatan ini, penjawat awam bekerja secara syif dapat mencapai jumlah jam kerja setara dengan penjawat awam yang bekerja pada waktu biasa. "Dengan mengambil kira jumlah hari bekerja selama lima hari seminggu, setiap penjawat awam yang bekerja secara syif akan mempunyai jumlah waktu bekerja setara 45 jam seminggu, termasuk lima jam rehat tengahari (1 jam sehari X 5 hari). "Polisi ini bukan sahaja dapat memastikan kesaksamaan tetapi juga menghargai pengorbanan penjawat awam yang bekerja di luar waktu bekerja normal. "Pada masa sama, Pemuda UMNO juga mencadangkan supaya kerajaan membabitkan juga wakil pekerja dalam membuat keputusan dasar berkaitan kebajikan mereka dan mengutamakan kesejahteraan pekerja untuk meningkatkan produktiviti mereka," katanya. Akmal berkata kebajikan pekerja sektor awam, khususnya terbabit dengan perubahan ini perlu dijaga dengan mengutamakan kebajikan dan produktiviti mereka yang membanting tulang dalam usaha membangunkan negara. "Pemuda UMNO akan terus memperjuangkan nasib pekerja sektor awam dan memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan. Kami juga akan mengemukakan surat bantahan rasmi kepada pihak berkaitan untuk menegaskan pendirian ini," katanya. Sumber : – Berita Harian |
ADVERTISEMENT