Bangkok: Kemalangan tragis berlaku apabila lif yang sudah uzur di kedai peralatan penyaman udara di kawasan Taling Chan di sini, tidak berfungsi dan terjatuh menyebabkan seorang maut serta tiga parah. Thaiger.com melaporkan, lif itu tidak mampu menampung berat lebih 300 kilogram mengakibatkan ia jatuh. Insiden itu berlaku di sebuah bangunan lima tingkat di Ratchaphruek Road, yang mana syarikat itu menjual peralatan penghawa dingin rumah. Lif yang terletak di sebelah kiri tingkat bawah bangunan itu jatuh menjunam, menyebabkan kematian ketua juruteknik, Amanat, 43 tahun yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah. Siasatan mendedahkan lif itu adalah model lama, menyerupai bakul dengan siling terbuka, disokong oleh satu kabel. Ia hanya mampu menampung beban tidak lebih daripada 300 kilogram. Cangkuk atas bakul itu patah, menyebabkan lif jatuh dengan tragis.
Seorang pekerja, Nantaporn, 48 tahun berkata, sebelum kemalangan berlaku, beberapa individu sedang mengangkut barang untuk membina sangkar burung di tingkat lima. Berat gabungan individu berkenaan, yang kesemuanya berbadan besar, mungkin melebihi kapasiti lif, menyebabkan kabel terputus dan lif jatuh. Pemeriksaan terperinci menunjukkan lif itu setinggi dua meter, dengan siling terbuka. Tiang kayu putih, masing-masing sepanjang tiga meter, menyebabkan kabel terlanggar siling bangunan apabila lif sampai ke tingkat atas. Disebabkan reka bentuknya yang sudah lapuk, lif itu tidak dilengkapi dengan sensor dan cuba berada pada kedudukan asalnya secara paksa. Tiang itu menghalang pergerakan lif, menyebabkan cangkuk kabel putus, yang mengakibatkan lif itu terjatuh, dan seorang maut manakala beberapa yang lain cedera. Seorang pegawai polis dari Taling Chan, Chaiwat Namchanda, menerima laporan mengenai kabel lif terputus, menyebabkan beberapa orang terkorban. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT