Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila lagu nyanyiannya bersama Cynthia Erivo berjudul The Wizard And I yang dimuatkan dalam sountrack filem Wicked berjaya lolos carta lagu popular Amerika Syarikat, Billboard Hot 100. Anak kelahiran Ipoh Perak itu berkongsi berita gembira tersebut menerusi hantaran dalam Instagramnya. “Terima kasih you @cynthiaerivo dan Stephen Schwartz. Sekarang saya seorang penyanyi,” tulisnya. Biarpun pernah mendedahkan nyanyian antara tugasan menggerunkan, Yeoh, 62, yang menggalas watak Madam Morrible dalam naskhah tersebut tetap menyahut cabaran. Kecintaan terhadap genre muzikal broadway itu nyata mengatasi kebimbangan sehingga mampu menonjolkan prestasi terbaik terutama dari segi nyanyian. “Wicked adalah cerita dunia fantasi di mana orang tiba-tiba menyanyi dan menari berbanding bercakap. Saya sangat suka genre begitu,” katanya dalam satu temu bual.
Dalam filem yang turut membariskan penyanyi Ariana Grande, Yeoh kembali disatukan dengan pengarah, Jon M Chu selepas pernah bekerjasama untuk filem pecah panggung Crazy Rich Asians sebelum ini. Wicked turut dibintangi ramai lagi nama besar dalam industri hiburan termasuk Cynthia Erivo, Jonathan Bailey dan Jeff Goldblum. Sumber : Kosmo |
ADVERTISEMENT