Mencipta kenangan manis, penyanyi popular Korea Selatan Taeyang membuat kejutan menyampaikan lagu Antara Anyer dan Jakarta dendangan asal Datuk Sheila Majid di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam. Pemilihan lagu malar segar yang ditukar lirik kepada Antara Seoul dan Malaysia ketika persembahan Taeyang 2024 Tour (The Light Year) in Kuala Lumpur itu mengundang sorakan gemuruh lebih 10,000 penonton. Menerusi video tular yang dimuat naik akaun peminatnya di Instagram, anggota kumpulan Big Bang itu menyampaikan seleksi hits tersebut dalam bahasa Melayu dengan penuh yakin. Usaha Taeyang, 36, mengubah bait seni kata lagu itu membuktikan kesungguhan serta kasih sayang terhadap peminat tegarnya di Malaysia. Bukan mudah untuk mempelajari bahasa asing dalam tempoh singkat terutama dari segi sebutan apatah lagi di tengah kesibukan memenuhi latihan konsert jelajahnya.
Perkongsian video tular tersebut turut meraih perhatian Sheila apabila Ratu Jazz terbabit meninggalkan komen pada hantaran berkenaan. “Awesome blossom!” tulisnya ringkas seraya menunjukkan perasaan teruja apabila disertai emoji tepuk tangan. Sepanjang dua jam ikon K-pop itu membawakan rangkaian lagu solo serta seleksi nostalgia daripada BigBang termasuk Loser, Bang Bang Bang, Fantastic Baby dan We Like 2 Party. Kali terakhir Taeyang berkunjung ke negara ini mengadakan konsert solo adalah sekitar tujuh tahun lalu. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT