KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng hari ini mengemukakan permohonan untuk mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Guan Eng selaku pemiutang penghakiman, memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Guok Partnership, dengan menamakan Muhyiddin selaku penghutang penghakiman. Ia bersabit keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November lalu yang memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah. Tuntutan pembayaran Guan Eng seperti dalam permohonan itu membabitkan jumlah penghakiman RM1,350,000, kos tindakan (RM50,000) dan alokatur (RM2,000). Sementara itu, notis kebankrapan menyatakan bahawa dalam tempoh tujuh hari selepas penyampaian (notis) berkenaan, Muhyiddin mesti membayar RM1.402 juta seperti yang dituntut melalui penghakiman muktamad Mahkamah Tinggi, yang belum ditangguhkan pelaksanaannya.
Ia juga menyatakan, atau Muhyiddin hendaklah menjamin jumlah tuntutan itu kepada Guan Eng dan mahkamah serta memenuhi bahawa beliau mempunyai tuntutan balas dan tuntutan silang terhadap Guan Eng yang menyamai atau melebihi jumlah yang dituntut. "Bagaimanapun, jika kamu mempunyai tuntutan balas, atau tuntutan silang bersamaan atau melebihi jumlah dituntut dan tidak dapat lakukan, kamu hendaklah dalam tempoh tujuh hari memohon untuk mengetepikan notis ini dengan memfailkan afidavit kepada Pendaftar," kata notis itu. Sementara itu, Muhyiddin memohon untuk menggantung sementara penghakiman itu, sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan. Muhyiddin berkata, oleh kerana jumlah penghakiman adalah besar, beliau memerlukan masa untuk mengumpul amaun berkenaan. Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, mengeluarkan perintah supaya Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta ketika membenarkan tuntutan saman fitnah Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary. Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil. Beliau sehubungan itu, memerintahkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000. Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. Laporan itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita. Guan Eng mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai. Sumber:- Berita Harian |
ADVERTISEMENT