KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan, Robert Douglas Friend dianggap perlu diberikan masa lima tahun untuk membawa perubahan besar terhadap Harimau Malaya terutama bagi meletakkan pasukan negara dalam kelompok 100 terbaik dunia. Perkara itu disuarakan pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa yang menyifatkan bekas pemain kebangsaan Kanada itu terpaksa berdepan cabaran besar dan tugas sukar untuk mengubah atau menjenamakan Harimau Malaya menjadi pasukan yang lebih digeruni. Beliau berkata, tugas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend bukan sahaja perlu menguruskan pasukan senior Harimau Malaya yang kini berada di ranking 132 dunia, tetapi juga harus melakukan perubahan terhadap pasukan pelapis skuad negara. Justeru, katanya, peminat bola sepak tanah air tidak boleh mengharapkan perubahan segera yang besar dapat dilakukan Rob Friend dalam tempoh singkat.
"Bagi sukan berprestasi tinggi, tiada kejayaan yang akan dapat diperoleh dalam jangka masa singkat sama ada 12 bulan atau 24 bulan. Itu tidak realistik dan sama ada suka atau tidak, kita kena bagi dia (Rob Friend) ruang untuk menjenamakan pasukan kebangsaan. "Peminat perlu terima hakikat, untuk naik lebih 30 anak tangga (dalam ranking dunia) satu perkara yang sukar sedangkan dalam saingan peringkat Piala ASEAN pun memperlihatkan kita di belakang Singapura, Filipina, Vietnam dan Thailand. "Jadi, ia tidak boleh berlaku dengan mudah kerana pasukan negara lain pun berusaha untuk maju ke depan. Dia perlukan 60 bulan untuk jadi hero. Maknanya dia perlukan sekurang-kurnagnya lima tahun untuk pastikan pasukan kita berada pada ranking 100 terbaik dunia. "Tempoh 60 bulan itu realistik untuk dia menstrukturkan pengurusan dan perjalanan pasukan kebangsaan dari skuad senior sampai ke pasukan pelapis," katanya kepada BH Sukan. Rob Friend yang bakal memulakan tugas bulan ini hadir dengan portfolio hebat menerusi pembabitannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014. Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan misi awal buat pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi selain membawa skuad negara berada dalam kelompok 100 terbaik dunia. Selain itu, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam menganggap Rob Friend memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk kelab bagi menjayakan misi revolusi Harimau Malaya. Beliau berkata, Rob Friend juga perlu memperjelaskan perancangan jangka pendek dan panjangnya termasuk dalam usaha mendapatkan tajaan atau rakan strategik untuk bersama menyokong perubahan skuad bola sepak negara. "Dia perlukan kerjasama dari semua pihak dan dia tak boleh berfungsi seorang. Walaupun dia bawa profil hebat dan dibayar gaji RM100,000 atau RM200,000 sebulan sekali pun, tapi jika tidak mendapat kerjasama, dia akan gagal. "Friend juga perlu memahami budaya bola sepak Malaysia yang mana dia bukan sahaja setakat menguruskan pemain tetapi turut kena memiliki hubungan dengan pemilik kelab dalam Liga Malaysia," katanya. Sumber – BH |
ADVERTISEMENT