KUALA LUMPUR: Selepas melalui proses revolusi, Harimau Malaya terus memasuki era baharu apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memeterai kerjasama empat tahun bersama PUMA Malaysia. Kemuncak kepada majlis kerjasama itu menyaksikan jersi rasmi Harimau Malaya yang baharu dilancarkan hari ini dengan rekaan warna kebangsaan ikonik pasukan - kuning dan hitam. Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menjelaskan kerjasama dengan PUMA menandakan satu lembaran baharu dan menarik untuk bola sepak Malaysia. "Kepakaran mereka dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global bukan sahaja akan menyediakan pemain kita dengan peralatan yang mereka perlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi tetapi juga membantu memupuk hubungan yang lebih mendalam antara pasukan dan penyokong. "Bersama-sama kita mensasarkan untuk mencipta budaya bola sepak yang lebih bertenaga di Malaysia, memberi inspirasi kepada pemain dan peminat sambil meningkatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi," kata Hamidin.
Sementara itu, Pengarah Urusan PUMA Asia Tenggara & Oceania, Sanjay Roy pula berkata, kerjasama dengan FAM menandakan satu peristiwa penting bagi PUMA kerana dapat mengembangkan kehadiran jenama itu dalam bola sepak Malaysia. "Kami berdedikasi untuk melengkapkan Harimau Malaya dengan produk inovatif yang memperkasakan mereka untuk mencapai matlamat sambil meraikan kuasa sukan ini untuk bersatu dan memberikan inspirasi," katanya. Sumber : - Berita Harian |
ADVERTISEMENT