GEORGE TOWN: Pulau Pinang yakin mampu menangani cabaran perubahan dasar tarif yang diumumkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow. Beliau menegaskan, negeri itu yang menyumbang kira-kira lima peratus kepada eksport semikonduktor dunia, sedang memantau rapat perkembangan berkaitan dasar tarif berkenaan. "Sebarang perubahan dalam dasar tarif akan memberi kesan kepada syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di negeri ini, sekali gus mempengaruhi peluang pekerjaan serta potensi pelaburan pada masa hadapan. "Namun, saya yakin Pulau Pinang berada dalam kedudukan kukuh untuk menghadapi sebarang perubahan dalam dasar perdagangan, memandangkan negeri ini telah bersiap siaga selama lima dekad untuk menangani cabaran sebegini," katanya pada sidang media bersama Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Rafael Daerr, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk terus menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan bernilai tinggi dan inovasi teknologi. Dalam masa sama, katanya, Pulau Pinang juga berhasrat memperkukuh kerjasama dengan EU dalam menghadapi cabaran landskap semikonduktor global yang sentiasa berubah. "Melalui InvestPenang, kerajaan negeri bersedia menyediakan persekitaran kondusif bagi syarikat Eropah untuk berkembang, berinovasi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya. Sementara itu, Daerr berkata komuniti perniagaan EU telah lama bertapak di Pulau Pinang yang memiliki lokasi strategik dalam ekosistem perindustrian negara. Menurutnya, daya tarikan negeri itu sebagai pusat industri berteknologi tinggi dan berkemahiran tinggi, serta keterbukaannya kepada perdagangan antarabangsa, menjadikannya destinasi pilihan bagi syarikat dan pelabur Eropah. "Antara sektor yang menjadi tumpuan termasuk industri elektrik dan elektronik, peralatan perubatan, kejuruteraan serta penerbangan," katanya. Beliau turut mendedahkan bahawa antara 2019 hingga 2023, Pulau Pinang merekodkan hampir RM100 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan dari EU, merangkumi 51 peratus daripada jumlah pelaburan sektor itu di negeri berkenaan. "Dalam tempoh sama, Pulau Pinang juga mencatatkan eksport bernilai RM140 bilion ke EU," katanya. Delegasi EU ke Malaysia, dengan kerjasama kerajaan Pulau Pinang, EUROCHAM Malaysia dan InvestPenang, hari ini menganjurkan sesi panel *EU-Malaysia Business Day 2025: Penang in Focus*, yang bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi serta memupuk kerjasama antara perniagaan Eropah dan Malaysia. Kredit -– BH |
annehuda: Penang ni dulu antara negeri termiskin kt Malaysia. Pastu dpt mcm2 peruntukan federal utk projek kat sana. Camne tak maju? So hakak agak skeptikal nga ...
ADVERTISEMENT