Terus mencipta sensasi, pempengaruh Ameera Khan kembali menjadi sorotan ramai selepas tular video memaparkan dirinya berpelukan dan bermesraan dengan pelakon Indonesia, Jefri Nichol.
Lebih mencuri perhatian dalam video tersebut, Jefri, 26, dilihat turut meriba dan mencium pipi adik kepada selebriti, Neelofa yang dahulunya mencacah tatu pada jari manis dengan akronim ‘AK’.
Hantaran tersebut dipercayai dimuat naik sempena sambutan Hari Kekasih pada hari ini.
Namun, pelakon Ali Topan itu tidak menulis sebarang kapsyen pada perkongsian tersebut, kecuali satu petikan romantik yang dikongsikan pada gambar terakhir.
“Pergi mampus 14 Februari (Hari Kekasih), aku mencintainya setiap hari,” tulis petikan itu.
Manisnya, Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25, turut membalas hantaran tersebut dengan ungkapan penuh cinta buat Jefri.
“Aku cinta padamu, sayang. Akan sentiasa mencintaimu selamanya,” tulisnya.
Kemesraan pasangan itu menerima pelbagai reaksi netizen malah ada yang melahirkan rasa terkejut dengan tindakan tersebut sekali gus melabelkan tindakan mereka itu sebagai keterlaluan.
“Orang sibuk sambut Nisfu Syaaban, kalian menggelupur dengan Hari Kekasih. Berpelukan dan bercium terang-terangan, apa motif yang cuba disampaikan?” soal seorang pengguna media sosial.
“Sudah terlalu asyik bercinta, lupa halal haram. Bukankah lebih baik bernikah terus? Abang ipar tak tegur ke?, ” komen seorang lagi.
“Abang ipar dengan kakak sibuk ceramah kehulu kehilir, adik cium jantan,” tambah seorang lagi pengguna.
Terdahulu, hubungan Ameera, dengan Jefri mula menjadi perhatian selepas beberapa petunjuk mula dikongsi menerusi media sosial.
Antara yang mencetuskan spekulasi termasuk gambar dan video mesra mereka menghabiskan masa bersama.
Walaupun belum ada kenyataan rasmi daripada kedua-dua pihak, pasangan itu dilihat semakin terbuka mempamerkan hubungan romantik mereka, sekali gus mengundang perhatian lebih besar daripada peminat.
Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|