Tindakan spontan Ning Baizura dan Pasha Ungu berpegangan tangan ketika beraksi pada pentas akhir musim ke-11, Gegar Vaganza (GV11), Ahad lalu, mencuri perhatian hingga menjadi bahan usikan pengacara, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad. Tidak berniat mencetuskan kontroversi, sebaliknya Ning mengakui perkara itu terjadi disebabkan mereka terlalu menghayati lagu Terlanjur Cinta yang dipersembahkan. "Pasha sangat 'memberi' menyebabkan saya jadi emosi, lantas, secara spontan saya pegang tangannya. "Apa yang penonton nampak atas pentas bukanlah sesuatu yang dirancang kerana kami tidak cukup masa hendak berlatih. "Sejujurnya, Pasha sangat hormati orang lain. Sebelum berduet, saya cari isterinya untuk minta izin," katanya kepada BH Online. Ning atau nama penuh, Ning Baizura Sheikh Hamzah, 50, memuji sikap Pasha yang cukup profesional dan tidak lokek ilmu.
"Saya juga bertanya tip agar nyanyian kami harmoni. Bagaimanapun, Pasha cakap usah risau kerana percaya saya boleh buat. Bagi Pasha, saya memiliki vokal bagus dan gemersik. "Pasha minta saya untuk lepaskan suara. Kami ada aura. Itu menjadi kelebihan buat kami tampak serasi atas pentas," kongsi penyanyi bersuara soprano ini. Sementara itu, naib juara GV11 itu mendedahkan, dia hanya mengenakan selipar ketika persembahan di konsert akhir. Julung kali membuat persembahan menyarung selipar, penyanyi yang popular dengan lagu Dugaanku itu berkata, semuanya dilakukan demi keselesaan. "Di sebalik gaun labuh digayakan, saya hanya pakai selipar supaya lebih selesa ketika membuat persembahan. "Saya tak suka pakai kasut tumit tinggi. Tidak tahulah, mungkin atas faktor usia. Alhamdulillah, keselesaan ini membuatkan saya dapat memberi persembahan dengan baik. "Ketika sesi raptai, saya ukur ketinggian saya dengan Pasha supaya kelihatan seimbang. "Saya cakap dengan pasukan mengenai hasrat memakai selipar. Ini adalah kali pertama dan terakhir saya pakai selipar sambil menyanyi," katanya sambil tertawa kecil. Ning merancang mementaskan konsert sempena 33 tahun pembabitan dalam bidang muzik. Baru muncul dengan single berjudul To Know Me. Sumber – Berita Harian |
ADVERTISEMENT